suria

Pemimpin Ltte ditembak mati - Tentera Sri Lanka

NEW DELHI: Pemimpin Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) Velupillai Prabhakaran, yang mengetuai pemberontakan bersenjata menentang kerajaan Sri Lanka selama lebih kurang suku abad bagi menubuhkan sebuah negara berasingan, akhirnya ditembak mati oleh tentera negara itu.

Sumber tentera di Colombo berkata Prabakharan dan ketua perisiknya Pottu Amman terbunuh malam tadi ketika cuba melarikan diri dengan jeep dan ambulans di utara negeri itu.

Awal hari ini, Kementerian Pertahanan Sri Lanka mendakwa bahawa anak lelaki Prabhakaran, Charles Anthony, 24, terbunuh dalam satu pertempuran.

Sejak 1970-an, LTTE, yang diketuai Prabhakaran, 54, berjuang bagi menubuhkan sebuah negara merdeka untuk penduduk Tamil di Sri Lanka, yang majoriti penduduknya berbangsa Sinhala.

Sebanyak 80,000 orang dianggarkan terkorban dalam perang saudara di negara itu.

Setelah tiga kali menemui kegagalan, pada 2006, pasukan tentera Sri Lanka melancarkan edisi keenam Perang Eelam terhadap LTTE, yang dianggap antara kumpulan pengganas paling kejam di dunia dan yang memperkenalkan khidmat pengebom nekad.

LTTE, yang pernah mendakwa mempunyai 15,000 anggota semasa zaman kehebatannya dan memiliki kapal selam serta pesawat udara, akhirnya tidak berdaya menahan asakan tentera kerajaan yang mempunyai hampir 80,000 anggota.

Sebahagian besar pejuang LTTE telah mati atau cedera dalam peperangan, manakala anggotanya yang telah berusia lanjut, tidak mampu menandingi kehebatan tentera Sri Lanka di medan perang.

Kekuatan LTTE di utara negara itu lumpuh apabila tentera kerajaan memusnahkan pangkalan strategiknya termasuk ibu pejabat pentadbirannya di Kilinochchi, Januari lepas, diikuti kubu dan ibu pejabat ketenteraan terakhirnya di Mullaithivu.

Tentera kerajaan juga berjaya membebaskan hampir 15,000km persegi kawasan yang pernah dikuasai LTTE dan kini menguasai sepenuhnya wilayah utara negara itu.

Presiden Mahinda Rajapaksa, yang mula memegang kuasa pada 2005 dan berikrar untuk menghapuskan LTTE dan keganasan di bumi Sri Lanka, enggan tunduk terhadap tekanan antarabangsa yang ingin melihat gencatan senjata diadakan di negara itu ketika beribu-ribu orang awam berketurunan Tamil terperangkap di zon peperangan. BERNAMA

Artikel Lain