suria

Razali terkejut Asean masih belum buat pendirian mengenai Suu Kyi

SUBANG JAYA: Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu yang juga bekas Wakil Khas PBB ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail berkata hari ini beliau terkejut Malaysia dan negara-negara ASEAN masih belum membuat pendirian mengenai isu berhubung prodemokrasi Myanmar dan perbicaraan ikon pembangkang Aung San Suu Kyi oleh junta tentera negara itu.

Razali berkata, Suu Kyi adalah tokoh terkenal kepada pemimpin Malaysia dan ASEAN dan apa yang telah beliau lalui tidak saja menjadi perhatian utama rakyat Malaysia tetapi juga seluruh ASEAN.

"Saya terkejut Malaysia tidak menyatakan apaapa mengenai isu ini bagi melahirkan rasa marah... dan saya terkejut negara-negara ASEAN lain juga tidak banyak bercakap mengenainya.

"Saya faham mengapa kita tidak menyatakan sesuatu, kerana kita menganuti prinsip tidak campur tangan dalam urusan negara-negara jiran, tetapi apa yang berlaku terhadapnya mendatangkan kesan, khususnya tentang isu apakah kewajipan jiran terhadap situasi sedemikian.

"Rakyat kita juga ingin bertanya pendirian kita untuk apa? Jika tidak ada yang diperkatakan ia boleh ditakrif oleh tentera itu bahawa tidak ada kekangan serius... maka mereka boleh lakukan apa yang mereka suka terhadapnya, ini amat malang," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah berjudul 'Global Teamwork' anjuran Taylor University College Model United Nations (Taymun)'s Club, di sini.

Suu Kyi, 63, dibicarakan semalam atas tuduhan menyembunyikan seorang lelaki Amerika Syarikat yang berenang ke rumahnya.

Atas tuduhan itu, beliau diletakkan di bawah tahanan selama lima tahun.

Taymun adalah simulasi akademik PBB yang bertujuan mendidik anggotanya mengenai sivik, komunikasi efektif, globalisasi dan diplomasi multilateral.

Pelajar mengambil peranan sebagai diplomat asing di mana mereka melakukan penyelidikan ke atas sesebuah negara, menyiasat isuisu antarabangsa, berdebat, berbincang mencari penyelesaian terhadap masalah dunia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain