suria

Bill Clinton hadiri Kongres Dewan Perniagaan Sedunia di KL

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton akan berkongsi pandangannya tentang cara untuk mengatasi cabaran yang dihadapi dunia hingga 2025 pada Kongres Dewan Perniagaan Sedunia Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bulan depan.

Beliau dijangka mengadakan persembahan video pada sesi pleno pertama kongres tiga hari itu, kata Persekutan Pengilang Malaysia (FMM) dalam kenyataan di sini hari ini.

Kongres yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun itu adalah anjuran ICC World Chambers Federation dan dihoskan oleh FMM.

Tokoh lain yang dijangka turut berucap pada sesi itu ialah pemenang Hadiah Pulitzer (ekonomi) Joseph Stiglitz, Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu Jeffrey Sachs, Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa Dominique Strauss Kahn dan Setiausaha Agung Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan

Pembangunan (Unctad) Panitchpakdi Supachai.

Presiden FMM Datuk Mustafa Mansur berkata sesi berkenaan akan memberi fokus terhadap erti sebenar perubahan yang berlaku sekarang dan cabaran yang dihadapi pembuat keputusan bagi masa akan datang serta cara bagi menangani bidang yang dijangka mengalami transformasi paling hebat.

Katanya kongres itu juga akan mengadakan sesi khas mengenai kepimpinan transformasi, yang akan menampilkan beberapa penceramah termasuk Pengerusi Energy Transportation Group Inc dari Amerika Syarikat Kimball Chen dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Datuk Seri Idris Jala.

Pada sesi ini, penceramah akan mendedahkan kisah dan strategi kejayaan masing-masing serta memberi jawapan terhadap persoalan penting yang wujud sekarang apakah yang diperlu dilakukan oleh pemimpin dalam melaraskan strategi mereka ketika menghadapi saat-saat yang tidak menentu dan apakah sebenarnya yang perlu dilakukan oleh pemimpin perniagaan sekarang, kata Mustafa.

Mustafa berkata dalam menghadapi keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, ahli perniagaan perlu mengatasi potensi kejatuhan yang bakal mereka alami, sekiranya mereka tidak bersifat fokus dalam tindakan masing-masing.

"Syarikat yang mementingkan fleksibiliti, kesedaran dan daya tahan, bukan saja akan lebih berupaya untuk menyelamatkan diri daripada krisis ini, malah akan lebih maju," katanya.

Syarikat dan pemimpin perniagaan yang ingin menyertai acara ini boleh mendaftar secara online di alamat www.kl2009.com atau www.fmm.org,my. Pertanyaan mengenainya pula boleh dibuat secara terus kepada FMM dengan menghubungi talian 03-62761211 (Angelina Lim). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain