suria

H1N1: Singapura tarik balik larangan kuarantin

SINGAPURA: Kerajaan Singapura hari ini menarik balik arahan kuarantin di rumah yang dikenakan terhadap mereka yang tiba dari Mexico baru-baru ini dengan alasan penularan virus A H1N1 di Mexico dianggap reda berdasarkan jumlah kes baru yang disahkan.

Kementerian Kesihatan republik ini berkata jumlah kes yang berasal dari Mexico ini juga telah berkurangan dengan banyaknya.

Sejak 4 Mei, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mexico melibatkan tempoh tujuh hari, dikenakan perintah kuarantin di rumah, yang melarang mereka keluar dari rumah selama tujuh hari setelah memasuki Singapura.

Langkah itu diambil bagi membendung risiko virus H1N1 daripada memasuki negara ini.

Berpuluh pengembara terdiri daripada warga tempatan dan asing, dikenakan arahan itu sepanjang tempoh dua minggu ia dikuatkuasakan.

Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata ia telah mengkaji semula penguatkuasaan arahan tersebut selepas kajian Rapid Pandemic Assessment Collaboration WHO menganggarkan kadar kes maut di Mexico berada pada paras bawah 0.4 peratus.

Dalam anggaran terdahulu berdasarkan jumlah kes yang dilaporkan pihak berkuasa Mexico iaitu terdapat 64 kematian daripada 2,656 kes yang disahkan (sehingga 14 Mei 2009), kadar kes maut ialah 2.4 peratus.

Kajian itu menunjukkan bahawa kadar tinggi kematian yang dilaporkan itu wujud kerana banyak kes yang tidak dibuat diagnosis.

Kadar 0.4 peratus itu adalah hampir sama dengan jumlah kes yang dilaporkan di tempat lain, kata kementerian berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain