suria

Isu Myanmar mungkin dibangkitkan semasa ASEM di Hanoi

HANOI: Isu demokrasi di Myanmar, terutamanya perbicaraan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi yang masih berlangsung dijangka menarik perhatian ramai anggota mesyuarat Menterimenteri Luar AsiaEropah (ASEM) ke sembilan yang bermula di sini pada Isnin.

Isu Myanmar tidak termasuk di dalam agenda rasmi mesyuarat tetapi pegawai-pegawai kanan berkata bahawa sebahagian negara anggota dari Eropah akan membangkitkan perkara itu semasa sesi perkembangan rantau dan antarabangsa.

"Ia tidak dibincangkan semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan pagi ini. Tetapi apa yang kami dengar ialah perkara ini akan dibangkitkan semasa Menteri-menteri Luar berbincang mengenai perkembangan terkini yang berlaku di kedua-dua rantau," kata seorang diplomat Asean.

Kesatuan Eropah (EU) lantang mengkritik pemerintahan junta tentera di negara itu, dan pada bulan lepas menteri-menteri luar perkumpulan itu bersetuju melanjutkan sekatan ekonomi terhadap 500 pemimpin regim dan saudara mara mereka sehingga April 2010, dan kira-kira 80 perniagaan mempunyai kaitan dengan mereka.

Gesaan bagi sekatan lanjut itu ditimbulkan selepas kepimpinan junta tentera itu menahan penerima Anugerah Nobel Keamanan untuk dibicarakan terhadap tuduhan melanggari syarat sekatan tahanan rumah dengan membenarkan seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat berenang dan memasuki rumahnya yang dikawal ketat.

Bagi tuduhan itu, Suu Kyi menghadapi hukuman penjara lima tahun sekira didapati bersalah.

Seorang diplomat Eropah berkata delegasi perwakilan EU amat berminat untuk mendengar sendiri penjelasan Menteri Luar Myanmar Mejar Jeneral Nyan Win mengenai perkembangan mutakhir negara itu dan bagaimana rancangan regim tentera itu mengadakan pilihan raya 2010.

"Jika tidak di sini, isu ini pasti akan ditimbulkan semasa mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean-EU di Phnom Penh pada 27 dan 28 Mei," kata diplomat itu.

Kira-kira 500 perwakilan dari negara-negara ASEM, meliputi 17 negara Asia dan 20 negara Eropah, akan menghadiri mesyuarat dua hari yang bertemakan "Menjalin Hubungan Erat Perkongsian AsiaEropah bagi Menangani Krisis Kewangan dan Ekonomi serta Cabaran Global Lain".

Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman, yang ketika ini sedang menghadiri mesyuarat Sesi ke-36 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Syria, akan tiba di sini pada Isnin bagi menghadiri ASEM.

Semasa mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan di sini, Menteri-menteri Luar Asia dan rakan sejawatan mereka dari EU akan menyentuh tentang krisis ekonomi pada masa ini, kerjasama ekonomi dan langkah bagi membina rangkaian anggota bagi menangani perubahan iklim. BERNAMA

Artikel Lain