suria

Uttar Pradesh medan panas pilihan raya di Utara India

LUCKNOW: Di India, pilihan raya bukan saja sebahagian daripada amalan politik, tetapi juga dianggap sebagai suatu pesta oleh penduduknya.

Dunia politik India sentiasa meriah kerana ia dihiasi pelbagai ragam manusia, seperti yang terdapat dalam filem Bollywood iaitu jenayah, rasuah, isu kasta, masyarakat, dinasti dan keluarga bangsawan, di samping angkaangka yang mencabar kebijaksanaan minda.

Sebanyak 714 juta rakyat India akan mengundi pada pilihan raya parlimen ke15 ini, yang diadakan dalam lima fasa dari 16 April hingga 13 Mei.

Di 33 negeri, termasuk wilayah kesatuan, bahang pilihan raya begitu terasa, terutama di Uttar Pradesh (UP) negeri paling padat di India, yang mempunyai hampir 190 juta penduduk.

Dengan 80 kerusi parlimen menjadi rebutan, negeri di utara India ini merupakan medan politik yang sentiasa panas, lebih-lebih lagi dengan kebangkitan masyarakat Dalit kasta paling rendah di negara ini, yang diketuai bekas guru bernama Kumari Mayawati dari Bahujan Samaj Party (BSP).

Dianggarkan terdapat 250 juta anggota masyarakat Dalit di India dan golongan ini menganggap Mayawati sebagai pejuang hak golongan tertindas di negara demokrasi terbesar dunia ini.

Ketua Menteri Uttar Pradesh ini bukan saja berjaya menyebarkan pengaruh BSP di negeri yang diterajuinya, malah ke seluruh India.

Walaupun Uttar Pradesh adalah antara negeri paling mundur di India, namun ia merupakan wilayah politik yang tidak boleh dipandang ringan dalam sesuatu pilihan raya.

Nama besar dalam politik India seperti gandingan Sonia GandhiRahul Gandhi, yang bertanding atas tiket parti Kongres dan Menaka GandhiVarun Gandhi, yang menyokong parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP), seteru utama Kongres, turut berentap di Uttar Pradesh.

Di luar gelanggang pula terdapat pelakon Sanjay Dutt, yang terlepas peluang untuk bertanding atas tiket Samajwadi Party (SP) (sebuah lagi parti berasaskan kasta yang berpengaruh di negeri itu) setelah Mahkamah Agung India menghalangnya daripada bertanding kerana disabitkan kesalahan dalam kes letupan bom di Mumbai pada 1993.

Bagaimanapun, pelakon yang bercitacita untuk bertanding di Lucknow ini, tetap sibuk berkempen bagi SP.

Politik di Uttar Pradesh bukan saja melibatkan ahli politik terkenal, tetapi juga mempunyai kaitan rapat dengan sentimen agama dan kasta, yang selalunya menjadi penentu dalam sesuatu pilihan raya.

Penganut agama Buddha, Hindu, Jain, Islam dan Sikh yang undi mereka amat penting bagi ahli politik yang gemar mengambil kesempatan daripada perbalahan agama turut menyumbang kepada suasana panas di negeri berkenaan.

Pada 1998, BJP menaggguk di air keruh daripada isu kuil Ram, dengan membangkitkan semangat golongan nasionalis Hindu untuk mendirikan sebuah kuil di kawasan bekas tapak Masjid Babri, untuk meraih undi mereka pada pilihan raya yang diadakan.

"Semangat berpuakpuak begitu ketara dan inilah yang melemahkan demokrasi. Politik berpuakpuak sudah menjadi sebahagian daripada sistem ini dan ia boleh mengancam demokrasi serta negara," kata Ashutosh Misra, seorang penganalisis politik dari Lucknow University.

"BJP, BSP dan Kongres tidak ada kekuatan di Uttar Pradesh, mereka kekurangan kepimpinan, tidak ada strategi berkesan dan kehilangan fokus. Semua pihak mempunyai peluang yang sama untuk memenangi pilihan raya ini," katanya.

Rapat umum kini begitu rancak diadakan di Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Di Lucknow, yang juga dikenali sebagai "Bandar Raya Nawab", lagulagu parti, ucapan dan rapat umum boleh ditemui serta didengar di mana saja dan suhu yang melepasi paras 40 darjah Celsius pada waktu tengah hari, tidak mematahkan semangat penduduknya untuk menikmati suasana pesta yang wujud di sini.

Walaupun suasana meriah ini hanya datang lima tahun sekali, tetapi ia menjadi suatu bentuk hiburan bagi penduduk miskin yang mengimpikan perubahan yang akan dibawa oleh ahli politik seperti Mayawati. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain