suria

Kumpulan baju merah setuju tamatkan bantahan di Bangkok

BANGKOK: Ketua penunjuk perasaan antikerajaan yang menukar wajah Bangkok menjadi sebuah zon perang dan mengakibatkan pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN+6 di Pattaya baru-baru ini, bersetuju menamatkan perhimpunan serta bersurai dari Rumah Kerajaan pada Selasa.

Natawut Saikua memberitahu beribu-ribu penyokong Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra di Rumah Kerajaan bahawa kumpulan baju merah akan beredar dari lokasi perhimpunan itu secara aman.

"Kami bersetuju menamatkan perhimpunan bagi melindungi nyawa penyokong kami.

"Bagaimanapun kami akan kembali dan terus berjuang untuk demokrasi," katanya, sambil beribu-ribu tentera mengepung tapak perhimpunan itu.

Dua orang terbunuh dan hampir 100 orang cedera dalam pertempuran yang tercetus antara penunjuk perasaan, tentera dan penduduk setempat di Bangkok semalam.

Natawut berkata, sungguhpun mereka gagal mencapai kejayaan dalam perjuangan untuk memaksa Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva meletak jawatan, sekurang-kurangnya bantahan itu yang diketuai oleh Perikatan Demokrasi Menentang Diktator (DAAD) berupaya menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Thai sudah bosan dengan Presiden Majlis Privi dan bekas Perdana Menteri, Prem Tinsulanonda.

Ketegangan semakin memuncak sejak 8 April apabila lebih 100,000 orang menghadiri perhimpunan besar-besaran bagi menyokong Thaksin, dan tiga hari kemudian kumpulan lebih kecil yang dianggotai 1,000 mengatasi beriburibu anggota polis dan tentera ketika menyerbu venue Sidang Kemuncak ASEAN+6 yang mengakibatkan pembatalannya.

Ahad lepas, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di ibu kota dan lima lagi wilayah berhampiran, namun masih enggan tunduk kepada desakan penunjuk perasaan supaya meletak jawatan atau membubarkan Parlimen.

"Ramai orang tidak sukakan beliau (Prem). Pada 8 April, kira-kira 300,000 orang berkumpul di rumahnya untuk menunjukkan rasa kurang senang mereka terhadap beliau," katanya, ketika ketua bersama Veera Musikapong memberitahu media tempatan bahawa beliau akan menyerah diri kepada polis.

Bagaimanapun, Natawut berkata, perayaan Songkran yang berakhir dengan pertumpahan darah tidak bermakna tamatnya perjuangan mereka agar demokrasi dipulihkan di negara ini, sambil menambah, mereka bersedia untuk kembali meneruskan perjuangan itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain