suria

Tindakan tegas jika adakan demonstrasi semasa sidang APEC

SINGAPURA: Singapura hari ini memberi amaran awal bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang merancang untuk mengadakan demonstrasi semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan berlangsung di sini hujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Wong Kang Seng berkata kerajaan akan menguatkuasakan Akta Ketenteraman Awam yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini bagi menangani golongan yang berhasrat mengganggu ketenteraman awam.

"Tiada tolak ansur berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang. Kami akan melaksanakan undang-undang itu dengan tegas," kata Wong pada upacara kenaikan pangkat Khidmat Risikan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di sini malam ini.

Beliau berkata sesetengah kumpulan tempatan dan asing mungkin akan menggunakan Sidang Kemuncak APEC untuk mempromosikan agenda mereka menerusi cara yang di luar batas undang-undang.

Mereka mungkin menghasut penduduk Singapura supaya melanggari undang-undang menerusi tindakan keingkaran awam, misalnya mengadakan demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan, kata Wong yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Beliau berkata sesetengah warga asing sendiri mungkin membuat keputusan untuk datang ke Singapura bagi menyertai aktiviti seperti itu.

Katanya Singapura akan mengalu-alukan warga asing yang berkunjung ke negara bandar raya ini tetapi bukan yang datang ke sini untuk merosakkan undang-undang tempatan.

Menteri itu juga berkata kerajaan tidak mampu untuk dipesongkan daripada tugasnya yang lebih besar dalam memastikan keselamatan persidangan itu, pemimpin asing dan delegasi serta penduduk Singapura daripada pengganas.

Beliau berkata bantahan pada mesyuarat G20 di London baru-baru ini dan demonstrasi jalanan yang berlarutan sepanjang tahun di Thailand oleh beribu-ribu penunjuk perasaan telah mengakibatkan kerosakan teruk pada harta benda awam, premis perniagaan dan kehilangan nyawa.

Wong percaya penduduk Singapura tidak mahu keganasan seumpama itu berlaku di sini, namun adalah jahil untuk mereka mempercayai bahawa tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku semasa tunjuk perasaan jalanan.

Beliau berkata hanya segelintir kumpulan tidak bertanggungjawab dan individu yang mementingkan diri yang mendesak kepada keingkaran awam seperti itu di Singapura. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain