BERSIN merupakan tindak balas semula jadi tubuh apabila hidung mengalami gangguan seperti habuk, lendir, atau bahan alahan.Menariknya, pernah tak anda perasan yang mata kita hampir secara automatik akan terpejam setiap kali bersin? Menurut perkongsian Public Health Malaysia, keadaan itu sebenarnya sebahagian daripada refleks tubuh yang diselaraskan oleh otak dalam tempoh yang sangat singkat.Apabila hidung mengalami iritasi, saraf trigeminal akan menghantar isyarat kepada batang otak, iaitu bahagian yang mengawal refleks bersin.Otak kemudian menyelaraskan beberapa tindak balas termasuk menarik nafas, mengecutkan otot dada dan abdomen serta meningkatkan tekanan udara sebelum udara dihembus keluar dengan kuat melalui hidung dan mulut.Pada masa sama, otot kelopak mata turut menerima arahan untuk mengecut, menyebabkan mata kebiasaannya terpejam ketika bersin.Ia bukan kerana mata akan 'terkeluar' akibat tekanan ketika bersin. Organ tersebut sebenarnya dipegang kukuh oleh otot, saraf dan tisu dalam rongga mata.Malah, ada individu yang boleh bersin dengan mata terbuka, cuma bagi kebanyakan orang, refleks menutup mata berlaku terlalu pantas untuk dikawal.Dalam perkongsian sama, Public Health Malaysia turut menyentuh tentang kebiasaan menyebut 'hashim' ketika bersin selepas perkara itu dipersoal oleh individu di Threads.Daripada sudut saintifik, sebutan itu tidak mempunyai peranan dalam refleks bersin. Bersin berlaku apabila rangsangan pada hidung mengaktifkan saraf trigeminal dan mencetuskan tindak balas automatik tubuh, termasuk pergerakan otot kelopak mata.Apa yang lebih penting sebenarnya ialah memastikan titisan daripada bersin kita tidak tersebar kepada orang di sekeliling.Jadi, pastikan anda menutup hidung dan mulut menggunakan tisu atau bahagian dalam siku, buang tisu selepas digunakan, dan jangan lupa basuh tangan.