TIMBUL dakwaan mengatakan individu yang memiliki saiz paha besar berpeluang hidup lebih lama.Namun hakikatnya, saiz paha tidak boleh dijadikan ukuran untuk menggambarkan tahap kesihatan seseorang. Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti IPB, Indonesia iaitu Dr Yunita Aryani menjelaskan elemen dalam bahagian paha terutamanya jisim dan fungsi otot jauh lebih penting berbanding ukuran.Dr Yunita menjelaskan paha manusia terdiri daripada gabungan tulang, otot, cecair, tisu serta lemak di bawah kulit.Oleh itu, dua individu yang mempunyai ukuran paha yang sama tidak semestinya mempunyai tahap kesihatan serupa.Dalam pada itu, Dr Yunita memberitahu lemak yang terkumpul pada bahagian paha dan punggung berbeza daripada lemak visceral (lemak di sekeliling organ dalaman).Lemak visceral jauh lebih berbahaya kerana aktif secara metabolik dan menjadi punca penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, hati berlemak, kolesterol tinggi, darah tinggi, dan penyakit jantung.Kajian dalam British Medical Journal (BMJ) menunjukkan ukuran paha yang kecil dikaitkan dengan risiko penyakit jantung koronari dan kematian pramatang yang lebih tinggi.Jelas Dr Yunita, ini kerana paha kecil sering menandakan jisim otot yang rendah serta status pemakanan yang kurang baik.Kajian Harvard Health pada 2012 ke atas 2,816 lelaki dan wanita (berumur 35–65 tahun) pula mendapati mereka yang berpaha lebih besar mempunyai risiko penyakit jantung dan kematian pramatang yang lebih rendah.Walau bagaimanapun, kajian ini hanya mengukur saiz tanpa membezakan sama ada saiz itu berpunca daripada otot atau lemak.Jisim otot yang tinggi terbukti menjadi faktor utama kepada jangka hayat yang lebih panjang. Otot yang kuat menandakan seseorang itu mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.Fokus utama kesihatan bukanlah untuk mendapatkan paha yang besar, tetapi memastikan saiz tersebut dibentuk oleh otot yang kuat dan sihat, bukannya penumpukan lemak berlebihan. - Agensi