suria

Bangkok tenang selepas rusuhan sepanjang hari

BANGKOK: Selepas pertumpahan darah pada 13 April yang hampir membawa negara terjerumus ke kancah perang saudara, Bangkok kembali tenang pada Selasa, namun ketegangan masih belum reda ketika beratus-ratus anggota tentera mengepung baki penunjuk perasaan di Rumah Kerajaan.

Dua penjaja terbunuh malam semalam apabila dua penunjuk perasaan berbaju merah bertelingkah dengan penjaja di pasar Nang Lerng ketika mereka beredar dari Victory Monument, mengakibatkan beratusratus penduduk di kawasan berdekatan keluar ke jalan raya dengan membawa senjata.

Bangkok bertukar menjadi zon perang pada Isnin selepas penyokong Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra, bertempur sepanjang hari dengan tentera yang lengkap bersenjata, mencederakan hampir 100 orang.

Berpuluh-puluh bas yang dirampas oleh penunjuk perasaan telah dibakar, dan akhbar The Nation menyiarkan tajuk muka depan, "Songkran Inferno", merujuk kepada permulaan Tahun Baru Thai semalam dalam keadaan di luar jangkaan, manakala beberapa akhbar lain pula melabelkan mereka sebagai pengganas jalanan.

Ketua penunjuk perasaan Jatuporn Phromphan memberitahu penyokongnya bahawa mereka akan terus berada di Rumah Kerajaan hari ini bagi mengelak pertempuran dengan tentera dan orang awam lain, sambil pihak berkuasa menutup semua laluan menuju ke pusat pentadbiran negara bagi memotong bekalan makanan dan kemudahan asas yang lain.

Penunjuk perasaan menyusun silinder gas bagi mengelak tentera daripada menyerbu ke tapak bantahan yang ditawan oleh kumpulan berbaju merah itu sejak 26 Mac.

Anggota tentera turut meletakkan kawat berduri di jalan menuju ke Victory Monument, yang dirampas kembali daripada perusuh selepas bertempur sepanjang hari, manakala pekerja dari Pentadbiran Metropolitan Bangkok pula bertugas membersihkan kawasan itu.

Ketegangan memuncak sejak 8 April apabila lebih 100,000 orang berkumpul dalam perhimpunan besarbesaran bagi menyokong Thaksin, dan tiga hari kemudian kumpulan yang lebih kecil berjumlah kira-kira 1,000 orang mengatasi beribu-ribu anggota polis dan tentera ketika menyerbu venue Sidang Kemuncak ASEAN+6 yang mengakibatkan pembatalannya.

Ahad lepas, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di ibu kota dan lima lagi wilayah berhampiran, namun masih enggan tunduk kepada desakan penunjuk perasaan supaya meletak jawatan atau membubarkan parlimen.

Jeneral Chaisit Shinawatra, bekas pemerintah tertinggi dan sepupu Thaksin, menafikan sebarang pembabitan pada Isnin lepas apabila dua lori tangki LPG dirampas oleh penunjuk perasaan dan diletakkan berhampiran rumah pangsa bagi menghalang tentera melepaskan tembakan ke arah kumpulan berbaju merah.

Chaisit adalah pengerusi Siam Gas, pemilik lori tangki itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain