suria

Abshisit enggan berundur

PATTAYA: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan timbalannya Suthep Thaugsuban bertegas tidak akan meletak jawatan, dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden memalukan negara hari ini, yang menyaksikan tahap keselamatan para pemimpin negara-negara Asean yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke14 hampir terjejas.

Jurucakap kerajaan Thailand, Panithan Watanayagorn berkata Abhisit, 44, yang menjawat jawatan Perdana Menteri Disember lepas itu tidak bercadang untuk berundur.

"Majoriti rakyat Thailand masih menyokong Perdana Menteri dan mereka tidak mahu dia meletak jawatan," katanya pada satu sidang media yang diadakan oleh Suthep di Pusat Media di Pattaya Exhibition and Convention Hall (Peach), yang sebelum ini dibanjiri oleh penunjuk perasaan anti kerajaan.

Suthep yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan bagi Sidang Kemuncak itu semasa ditanya soalan yang sama berkata, beliau akan kekal dengan jawatannya kerana masih ada banyak kerja yang perlu dibereskan.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tahap keselamatan untuk persidangan itu tidak mencukupi dan ratusan polis serta tentera tidak dapat menghalang kemaraan 1,000 penunjuk perasaan penyokong Perdana menteri Thailand yang ditumbangkan, Thaksin Shinawatra yang merempuh kawalan keselamatan.

"Sebaik sahaja penunjuk perasaan itu melihat petugas keselamatan tidak bersenjata, mereka terus merempuh masuk. Kerajaan sebelum ini bertekad bahawa sebarang langkah menghalang penunjuk perasaan itu tidak akan membabitkan senjata, tapi sekarang kami terpaksa mengkajinya semula," katanya.

Insiden tersebut memaksa kerajaan Thailand membatalkan Sidang Kemuncak itu, mengakibatkan penganjur menanggung malu.

Selain Abhisit, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain pemimpin dari kemboja Kemboja, Brunei, Laos, Myanmar, Vietnam, Singapura dan Filipina turut menginap di Royal Cliff Resorts, yang berada dalam kawasan sekitar Peach.

Panithan berkata semua pemimpin Asean dan rakan dialognya dari China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India, berlepas pulang ke negara masing-masing semalam.

Beliau dengan tegas mengatakan bahawa tahap keselamatan para pemimpin dan perwakilan yang menghadiri Sidang Kemuncak itu tidak pernah dikompromi pada bila-bila masa sekalipun.

Berhubung pengisytiharan darurat di Pattaya dan Chonburi oleh Abhisit untuk mengawal keadaan, Suthep berkata ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa, dan langkah akan diambil untuk meminimakan kesan terhadap industri pelancongan di kawasan itu, terutama dengan cuti sambutan hari Songkran akan bermula Isnin ini.

Merujuk kepada tuduhan pemimpin penunjuk perasaan itu bahawa penyokong mereka diserang dan dicederakan oleh kumpulan penyokong kerajaan, Suthep berkata ia tidak benar. BERNAMA

Artikel Lain