suria

Hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja dijangka pulih

PATTAYA: Hubungan dingin antara Thailand dan Kemboja sejak setahun kebelakangan ini berikutan pertikaian sempadan, dijangka pulih apabila Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Sen mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan di sini hari ini.

Abhisit menyifatkan perbalahan kecil terbaru di sempadan pada 3 Mac tahun ini berhubung kuil Hindu berusia 900 tahun itu adalah disebabkan salah faham dan berikirar untuk memperbaiki hubungan antara kedua buah negara.

Thailand juga mengorak langkah ke depan hari ini dengan bersetuju menyerahkan tujuh artifak milik Kemboja, yang telah diseludup menyeberangi sempadan Thai-Kemboja dan telah dirampas oleh pihak berkuasa Thailand pada tahun 2000.

Abhisit menyerahkan satu daripada artifak itu hari ini kepada Hun Sen manakala bakinya akan diserahkan apabila Perdana Menteri Thai itu melakukan lawatan rasmi ke Phnom Penh pada 18 April.

Artifak-artifak itu adalah antara 50 yang dapat dipintas oleh pegawai Kastam Thai semasa hendak diseludup.

Pada 24 Februari tahun ini, Kabinet Thailand menerima resolusi bagi memulangkan tujuh artifak kepada kerajaan Kemboja selaras dengan perjanjian yang ditandatangani antara kedua buah kerajaan pada tahun 2000 bagi memerangi penyeludupan dan pengedaran haram yang merentasi sempadan bagi harta mudah alih yang mempunyai nilai budaya. BERNAMA

Artikel Lain