suria

Kumpulan 'Baju Merah' batalkan demonstrasi di Sidang Kemuncak Asean

KUMPULAN penunjukan perasaan yang mendesak Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan.
KUMPULAN penunjukan perasaan yang mendesak Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan.
KUMPULAN penunjukan perasaan yang mendesak Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan.

PATTAYA: Bantahan yang diadakan oleh beribu-ribu penunjuk perasaan daripada kumpulan "Baju Merah" pro-Thaksin atau "Gerakan Besar Kumpulan Berbaju Merah" pada Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan di sini semakin hambar selepas mereka menyerahkan petisyen bagi mendesak penyingkiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Sekumpulan lapan penunjuk perasaan daripada kumpulan "Baju Merah" yang membolosi kepungan keselamatan di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (Peach), venue sidang kemuncak itu, dan menyerahkan petisyen berkenaan kepada P. Bala Kumar daripada Sekretariat Asean serta memintanya menyerahkan petisyen itu kepada pemimpin asing yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Pada asalnya, mereka mendesak untuk berjumpa wakil dari sebuah perwakilan asing untuk penyerahkan petisyen itu.

Tanda awal menunjukkan mereka meminta untuk berjumpa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, yang juga Timbalan Pengerusi Asean.

Demonstrasi itu, yang bermula sebelum tengah hari ini, berakhir kira-kira 5.10 petang. Abhisit kemudian memberitahu sidang media bahawa beliau tidak melihat petisyen itu memandangkan ia diserahkan kepada wakil Sekretariat Asean.

"Bagaimanapun saya fikir kandungannya sama dengan petisyen yang diserahkan kepada kedutaan negara anggota Asean pada Januari lepas.

"Saya harap tidak ada lagi gangguan pada mesyuarat itu," kata Abhisit, yang berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan menerusi kaedah perundangan.

Beliau berkata kesemua 15 pemimpin asing akan menghadiri sidang kemuncak itu meskipun mendapat bantahan, sambil menambah beliau menyokong mana-mana demonstrasi yang bermatlamat memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Ditanya sama ada insiden itu memalukan Thailand, Abhisit berkata peristiwa serupa pernah berlaku semasa mesyuarat G20 di London baru-baru ini dan berita mengenainya terpampang di muka depan akhbar di sana.

Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan berkata beliau gembira kerana penunjuk perasaan akhirnya setuju untuk beredar dan berharap mereka tidak akan kembali semula esok.

"Kami akan menunaikan janji untuk menyerahkan dokumen itu kepada pemimpin negara yang hadir," katanya.

Drama itu bermula kira-kira 4 petang apabila penunjuk perasaan yang melaungkan slogan seperti "Kami mahu demokrasi" di luar Peach, mendesak supaya mereka dibenarkan masuk.

Selepas bertegang leher dengan pasukan keselamatan yang turut dianggotai tentera, mereka kemudiannya berunding dengan Datuk Bandar Pattaya, Ittipol Kumpleum dan akhirnya dibenarkan masuk untuk menyerahkan petisyen itu.

Jurucakap kumpulan "Baju Merah", Sean Boongracong berkata antara lain, mereka mahu Abhisit dan tiga anggota Majlis Privi supaya meletak jawatan kerana merosakkan demokrasi di negara ini.

Ditanya sama ada mereka akan kembali semula pada Sabtu, Sean berkata perkara itu akan diputuskan oleh ketua penunjuk perasaan itu kemudian.

Rombongan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba pada 4.05 petang di Lapangan Terbang Utapao tidak jauh dari situ, berjaya memasuki Peach dengan melalui laluan tepi dan ternampak penunjuk perasaan itu sekali imbas.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Tan Sri Rastam Isa menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan Thai akan dapat menyediakan tahap keselamatan yang cukup untuk menganjurkan sidang kemuncak berkenaan.

Kumpulan 'Baju Merah' yang memulakan demonstrasi mereka di Bangkok dengan disertai lebih 100,000 orang pada Rabu, melumpuhkan ibu kota Thai semalam apabila mereka menghalang beberapa persimpangan utama.

Mereka menamatkan halangan di jalan raya itu pada Jumaat dan kembali ke Rumah Kerajaan tempat mereka mengadakan bantahan sejak 26 Mac.

Rumah Kerajaan, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, dikepung selama tiga bulan pada tahun lepas oleh penunjuk perasaan anti-Thaksin yang dikenali sebagai kumpulan "Baju Kuning".

Penunjuk perasaan "Baju Merah", yang dikaitkan dengan Thaksin, menggambarkan tindakan mereka itu sebagai langkah yang sah bagi menentang sebuah kerajaan yang tidak sah.

Mereka membawa beberapa poster yang menyifatkan Abhisit sebagai seorang diktator dan beliau bukanlah Perdana Menteri Thai.

Satu lagi poster memaparkan kata-kata "Pulanglah Perdana Menteri Thaksin, Tuan PM Terbaik".

Abhisit, ahli politik kelahiran Britain dan mendapat pendidikan di Eton serta Oxford, menjadi Perdana Menteri pada Disember tahun lepas manakala Thaksin menjawat jawatan sama pada 2001 sebelum beliau disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain