suria

Thailand tak perlu lepaskan kedudukan Pengerusi ASEAN

PATTAYA: Malaysia berpendapat adalah tidak perlu bagi Thailand melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Asean walaupun negara itu terpaksa membatalkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Thailand perlu diberi peluang untuk mengadakan semula sidang berkenaan pada tarikh lain.

"Saya tak nampak kita perlu tukar pengerusi ASEAN, cuma kita beri peluang kepada Kerajaan Thailand untuk memberi jaminan sekiranya sidang kemuncak ini diadakan di Thailand," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang selepas sidang kemuncak berkenaan terpaksa dibatalkan apabila penunjuk perasaan menyerbu tempat persidangan.

Jika diadakan semula di negara ini, kata Najib Thailand perlu memberi jaminan bahawa keadaan boleh dikawal dengan baik.

Walaupun ada cadangan lain untuk memastikan sidang seumpamanya diadakan pada masa lain, ia tidak melibatkan penukaran kedudukan Thailand sebagai pengerusi ASEAN. "Kita juga ada cadangan lain, tetapi tukar pengerusi tidak perlu dan tidak wajar dilakukan," katanya.

Sementara itu, akhbar The Nation, yang memetik seorang pegawai Kementerian Perdagangan, melaporkan pemimpinpemimpin ASEAN dijangka bertemu lagi di Bangkok pada Ogos bagi menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan China dan India yang sepatutnya dimeterai di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai Jawatankuasa Penyelaras M. Rajaretnam berkata, Dialog Global Asean yang julung kali dijadual diadakan di Bangkok turut dibatalkan berikutan insiden tunjuk perasaan yang berlaku hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu, Ban Kimoon dan pemimpin utama institusi kewangan dan perdagangan antarabangsa seperti Robert Zoellick daripada Bank Dunia, Supachai Panitchpakdi daripada Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNCTAD), Pascal Lamy (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan Haruhito Kuroda daripada Bank Pembangunan Asia dijadual menghadiri forum sehari.

Mereka sepatutnya berbincang mengenai krisis kewangan dunia dan kesankesannya terhadap rantau ini di samping membicarakan tentang perubahan iklim, konflik antarabangsa, pembaharuan sistem perdagangan dunia, jaminan bekalan makanan dan tenaga.

Ban, yang kini melawat Laos, dalam satu kenyataan berkata beliau kesal dengan penangguhan sidang kemuncak berkenaan dan kesan penangguhan kehadirannya pada persidangan itu.

"Saya memahami keadaan yang menyebabkan kerajaan Thailand mengambil keputusan yang sukar itu.

"Sementara saya berharap untuk bertukartukar pandangan dengan para pemimpin ASEAN dan rakan dialog perkumpulan itu, saya akan terus menunggu untuk mengadakan perbincangan dengan mereka dalam masa yang terdekat," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain