suria

Sidang kemuncak Asean diteruskan ikut jadual, tegas Thailand

PATTAYA: Kerajaan Thai, yang berada dalam kepungan, berkata Sidang Kemuncak Asean ke14 dan sidang kemuncak yang berkaitan akan diadakan mengikut jadual di sebalik peningkatan ancaman keselamatan daripada beratusratus penunjuk perasaan berbaju merah yang mengerumuni pintu masuk venue mesyuarat.

Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab dalam urusan keselamatan, memberitahu sidang akhbar di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (Peach) bahawa walau apa pun terjadi, sidang kemuncak itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

Bagaimanapun, Suthep berkata rundingan sedang diadakan dengan ketua penunjuk perasaan itu untuk meminta mereka beredar dari pintu masuk dan membenarkan pemimpin dari negara peserta memasuki venue mesyuarat.

"Ketua Polis sedang berbincang dengan mereka dan saya sedia berunding dengan mereka.

"Demi negara, penunjuk perasaan mesti menghentikan kepungan ini," katanya.

Beliau berkata meskipun berdepan ancaman daripada penyokong Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra, pasukan keselamatan belum menggunakan kekerasan bagi menyuraikan mereka.

Suthep berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Sen telah pun tiba di Pattaya manakala enam lagi pemimpin dijangka tiba lewat hari ini.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual tiba pada 4 petang waktu Malaysia.

Beribu-ribu penunjuk perasaan berbaju merah menghalang jalan raya utama di Bangkok selama dua hari berturutturut dalam percubaan mereka untuk memaksa Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva meletak jawatan dan membubarkan Parlimen.

Sebaliknya, Abhisit mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti umum.

Pegawai dari beberapa negara ketika dihubungi berkata tiada perubahan dalam jadual dan pemimpin mereka dijangka tiba di sini sebagaimana yang dirancang.

"Kami memantau keadaan dengan rapi. Pihak berkuasa Thai telah menyediakan pelan luar jangkaan sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal" kata seorang pegawai.

Difahamkan beberapa kapal tentera laut dan helikopter turut berjagajaga berhampiran resort Royal Cliff iaitu tempat penginapan sebahagian besar pemimpin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain