suria

Penunjuk perasaan ancam berhimpun di Sidang Kemuncak Asean

PATTAYA: Penunjuk perasaan anti kerajaan mengancam untuk berarak ke Pattaya, venue Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak yang berkaitan, sekiranya tuntutan mereka terhadap peletakan jawatan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan Majlis Privi yang amat berkuasa tidak dipenuhi hari ini.

Jurucakap Perikatan Demokrasi Menentang Diktator (Daad) mengesahkan seorang daripada pemimpinnya, Jatuporn Phrompan memberitahu perhimpunan di Bangkok mengenai rancangan untuk berarak ke bandar raya peranginan ini.

Beliau berkata kira-kira 1,000 penunjuk perasaan telah pun bergerak ke ibu pejabat Parti Demokrat di Bangkok bagi meningkatkan tekanan ke atas Abhisit, yang memimpin parti itu supaya meletak jawatan, sungguhpun Perdana Menteri berusia 44 tahun itu berikrar untuk terus memegang jawatan.

Jatuporn memberitahu perhimpunan berkenaan, yang menurut polis telah meningkat kepada lebih 100,000 orang malam semalam, bahawa ini adalah perjuangan terakhir dan mesti ada pihak yang menang serta kalah.

Penganjur perhimpunan itu mendakwa lebih 300,000 orang menghadiri tunjuk perasaan itu malam semalam, dengan Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra berucap kepada orang ramai menerusi hubungan video dan merayu supaya lebih ramai orang menyertai perhimpunan itu serta menyumbangkan makanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain