suria

Menteri Dalam Negeri India pula dibaling kasut

NEW DELHI: Menteri Dalam Negeri India P. Chidambaram menjadi pemimpin terbaru yang dibaling kasut oleh pemberita tempatan dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Jarnail Singh, yang betugas dengan sebuah akhbar Hindi, Dainik Jagaran, merasa marah apabila Chidambaram tidak menjawab satu soalan yang dikemukakannya berhubung rusuhan anti-Sikh pada 1984 yang menyaksikan ramai kaum Sikh dibunuh.

Menteri ini sempat tunduk mengelak dan kasut itu hampir mengenainya.

"Bawa dia keluar, perlahan-lahan, tak apa," kata Chidambaram sambil tersenyum semasa beberapa pegawai membawa wartawan itu keluar, dan Singh kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran.

Kejadian itu berlaku semasa menteri berkenaan sedang memberi taklimat media berhubung serangan pengganas di Assam semalam, yang mengakibatkan lapan orang terbunuh dan ramai lagi tercedera.

Chidambaram merupakan pemimpin terbaru selepas George W. Bush (bekas Presiden Amerika) dan Perdana Menteri China Wen Jiabao; dibaling kasut oleh wartawan yang marah baru-baru ini.

Singh memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan bahawa beliau tidak puas hati dengan jawapan menteri itu, dan tidak akan memohon maaf terhadap perbuatannya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain