suria

171 juta rakyat Indonesia mengundi hari ini

JAKARTA: Kira-kira 171 juta rakyat Indonesia keluar mengundi hari ini bagi memilih anggota empat dewan legislatif termasuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR atau Parlimen) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Pengundian serentak dijalankan bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Tingkat I dan Tingkat II bagi menjalankan tugas autonomi di daerahdaerah di negara berpenduduk 230 juta ini.

Mereka mengundi di lebih 512,000 pusat mengundi di semua 33 provisinsi yang dibuka mulai pukul 7 pagi ini hingga pukul 12 tengahari.

Komisi Pemilihan Umum (KPU, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya) menyediakan hampir 5 juta petugas tidak termasuk puluhan ribu lagi polis dan tentera serta ratusan ribu pemantau dan pemerhati dari parti-parti politik yang bertanding.

Sebanyak 38 parti politik bertanding di peringkat nasional manakala khusus bagi Aceh pula enam lagi parti politik tempatan turut bertanding bagi pemilihan peringkat daerah, menjadikan jumlah parti politik yang terlibat sebanyak 44 buah.

Menyertai rakyat menyempurnakan tugas lima tahun sekali itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan keluarga yang mengundi di Cikeas, Bogor manakala Naib Presiden Muhammad Jusuf Kalla dan keluarga pula mengundi di Menteng, Jakarta.

Turut mengundi ialah hampir 1.5 juta rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara termasuk kirakira 800,000 pengundi berdaftar di Malaysia yang akan mengundi di pusatpusat yang disediakan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia.

Pilihan raya umum ini, akan menyaksikan rakyat Indonesia memilih calon pilihan mereka bagi menduduki 560 kerusi di Parlimen daripada sejumlah 11,301 calon.

Mereka juga akan memilih 132 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dari 1,116 calon di seluruh negara yang merangkumi lebih 17,000 kepulauan ini.

Rakyat juga terpaksa memilih antara puluhan ribu calon anggota DPRD Provinsi yang akan merebut 1,998 kerusi dan ratusan ribu calon anggota DPRD daerah/bandar untuk mengisi 15,750 kerusi.

Bagi pemilu 2009 ini, KPU menyediakan sejumlah hampir 687 juta kertas undi, serta membuka 873 pusat mengundi di 117 negara yang mempunyai pekerja rakyat Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain