suria

Kabinet Thailand batal mesyuarat ketika protes berterusan

BANGKOK: Dengan beratusratus penunjuk perasaan anti kerajaan meneruskan kepungan ke atas Rumah Kerajaan, mesyuarat mingguan Kabinet Thai dibatalkan hari ini.

Penyokong-penyokong Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan terus berkhemah di situ sejak enam hari lalu, menghalang Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan menterimenteri kabinetnya daripada memasuki kompleks berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban memberitahu pemberita mesyuarat itu dibatalkan oleh kerana kerajaan yang berusia tiga bulan itu mahu mengelakkan konfrontasi dengan penunjuk perasaan yang menuntut Abhisit meletak jawatan dan Parlimen dibubarkan.

Demonstrasi yang menyokong protes itu juga diadakan di lebih 10 wilayah di bahagian utara dan timur laut selepas polis mengarahkan mereka keluar dari kawasan berkenaan.

Abhisit, yang dipilih oleh anggota Parlimen selepas ipar Thaksin Somchai Wongsawat diharamkan dari politik dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) mereka dilarang menyertai pilihan raya kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya Disember lepas, berlepas ke London hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 dalam kapasitinya sebagai pengerusi Asean.

Perdana Menteri berusia 44tahun itu mengelak dari datang ke pejabatnya di Rumah Kerajaan sejak kepungan bermula.

Tahun lepas, penyokong antiThaksin menguasai Bangunan Kerajaan selama tiga bulan dan menutup dua lapangan terbang utama Bangkok selama lebih 10 hari.

Thaksin, yang disabitkan salahguna kuasa dan kini tinggal dalam buangan, berucap kepada penunjuk perasaan sejak beberapa hari lalu menerusi rangkaian video di mana beliau menuduh presiden Majlis Privy Gen Prem Tinsulanonda dan anggota majlis itu Surayud Chulanont sebagai perancang rampasan kuasa 19 Sept, 2006 yang menumbangkan kerajaannya.

Seorang pemimpin United Democratic Alliance Against Dictatorship (UDAD) bila dihubungi berkata mereka sedang mengubahsuai taktik dalam berdepan dengan kerajaan Abhisit.

"Tetapi kepungan ke atas Rumah Kerajaan akan diteruskan buat masa ini...10 hari akan datang adalah kritikal," katanya.

Tunjuk perasaan proThaksin dilihat oleh banyak pihak sebagai percubaan bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Thaksin dan 110 bekas eksekutif partinya yang telah diharamkan menyertai politik selama lima tahun. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain