suria

Singapura lakukan rombakan kabinet minggu depan

SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan merombak Kabinetnya minggu depan sebagai sebahagian daripada kesinambungan pembaharuan kepimpinan dan menguji pemimpin muda untuk memikul tanggungjawab yang lebih luas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata perubahan itu yang akan berkuat kuasa pada 1 April, akan menyaksikan Menteri Pertahanan Teo Chee Hean, 54, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Professor S Jayakumar, 69.

Teo akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan selain menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Jayakumar juga akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Perubahan Iklim, kata kenyataan itu. Pemangku Menteri Tenaga Manusia Gan Kim Yong, 50, akan dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Tenaga Manusia.

Jayakumar akan kekal dalam kerajaan memandangkan beliau akan dilantik sebagai Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri dan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Penyelaras Keselamatan Negara.

Beliau akan terus mengawasi urusan dasar asing yang merentas pelbagai kementerian dan bertanggungjawab dalam isu dasar asing yang membabitkan rundingan perundangan atau penghukuman antarabangsa.

Menteri Kedua Kewangan dan Pengangkutan Lim Hwee Hua, 50, akan mendapat jawatan tambahan dengan dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Menteri Kanan Negara Lui Tuck Yew, 47, akan melepaskan jawatannya dalam Kementerian Pelajaran dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, menggantikan Dr Lee Boon Yang, yang akan bersara daripada kerajaan.

Menteri Kanan Negara di Kementerian Perdagangan dan Industri S Iswaran, 46, akan dilantik ke jawatan tambahan sebagai Menteri Kanan Negara di Kementerian Pelajaran.

Menteri Negara di Kementerian Perdagangan dan Industri Lee Yi Shyan, 47, akan diberikan satu lagi jawatan sebagai Menteri Negara di Kementerian Tenaga Manusia.BERNAMA

Artikel Lain