suria

Presiden, Naib, Speaker setuju tidak tunda

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Naib Presiden Jusuf Kalla dan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Agung Laksono dalam satu perbincangan tidak rasmi di sini, memutuskan pemilihan umum (pemilu) pada 9 April tidak ditunda.

Agung berkata perbincangan tidak rasmi yang turut dihadiri pengerusi Mahkamah Konstitusi (Perlembagaan) Mahfud MD dibuat selepas majlis angkat sumpah Hakim Mahkamah Konstitusi Harjono di Istana Negeri di sini Selasa.

"Selepas majlis itu, presiden, naib presiden dan saya mengadakan perbincangan tidak rasmi di mana kami sependapat bahawa tidak ada sebab untuk menagguhkan pemilihan umum," kata Agung seperti dipetik agensi berita Antara.

Beliau berkata dalam perbincangan tidak rasmi itu mereka sedar bahawa dalam agenda nasional seperti pilihan raya, semua jenis masalah akan timbul.

Tetapi, masalah itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya kerana penangguhan akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Beliau berkata kerajaan dan institusi negeri tidak perlu mengadakan mesyuarat rasmi bagi membincangkan masalah yang timbul menjelang pilihan raya umum, termasuk kontroversi mengenai Daftar Pemilih Tetap.

"Tidak perlu diadakan mesyuarat rasmi kerana tiada masalah besar untuk dibincang," katanya sambil menjelaskan untuk menangani kontroversi senarai daftar pemilih, Komisi Pemilihan Umum perlu mendedahkan kepada umum senarai itu bagi memperjelaskan isu pengundi hantu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain