suria

Isu turun naik harga makanan pada persidangan di Bangkok

BANGKOK: Turun naik harga makanan dan pasaran yang tidak menentu merupakan antara agenda pada persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang akan dihadiri oleh menteri dan pegawai kanan pertanian dari 43 negara Asia Pasifik di sini minggu depan.

Penolong Ketua Pengarah FAO He Changchui berkata persidangan itu berlangsung pada ketika dunia mengalami krisis kewangan dan ekonomi, selepas krisis makanan tahun lepas yang menyebabkan tambahan 41 juta orang terlibat dalam kelaparan yang kronik di rantau ini.

"Berhadapan dengan pelbagai krisis global, kita tidak sepatutnya lupa kepada kelaparan dan kemiskinan yang kekal masalah utama global kerana ia mengancam kestabilan sosial di beberapa bahagian di dunia termasuk rantau ini," kata Hee di sini hari ini.

Katanya langkah-langkah berani perlu dilakukan segera oleh kerajaan dan pertubuhan antarabangsa untuk membantu membuka potensi pengeluaran pertanian yang tidak diusahakan dan meningkatkan pelaburan pengeluaran dalam infrastruktur di kebanyakan negara yang terlibat.

Beliau berkata ini perlu bagi meningkatkan jumlah makanan sedia ada dan akses bagi mengurangkan kesan gabungan harga makanan yang tinggi dan krisis ekonomi kepada kumpulan yang miskin dan mudah terjejas. "Perubahan cuaca dan biotenaga telah membantu menjadikan pertanian tumpuan politik dan ekonomi, kerana pertanian, perikanan, perhutanan dan penternakan mempunyai peranan yang penting sebagai penyelesaian kepada ekonomi hijau yang baru," katanya.

Menerusi sektor pertanian, masalah-masalah terlibat boleh ditangani seperti pengeluaran yang tidak mampan, penggunaan dan pengurusan sumber semulajadi dan pembasmian hutan yang tidak cekap, ekploitasi habitat dan kehilangan biodiversiti selain sokongan keinstitusian yang tidak cukup, kata kenyataan FAO itu.

Agenda teknikal utama adalah untuk menghadapi keadaan air yang semakin berkurangan, perniagaan berasaskan pertanian dan agro-industri yang kompetitif dalam konteks globalisasi dan perdagangan bebas, keselamatan makanan dan perdagangan serta penyakit haiwan yang merentasi sempadan di rantau ini.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain