suria

Bali sepi penduduk Hindu jalani "nyepi"

JAKARTA: Bali menjadi sunyi dan sepi hari ini apabila kebanyakan daripada 3.5 juta penduduknya yang beragama Hindu menjalani upacara Tapa Brata Penyepian atau ringkasnya "Nyepi" bagi menyambut Tahun Baru Saka 1931.

Tapa Brata Penyepian disambut dengan pengamatan "amati karya" (tidak bekerja atau melakukan sebarang kegiatan), "amati geni" (tidak menyalakan api), "amati lelungan" (tidak keluar rumah atau pergi ke manamana) dan "amati lelanguan" (tidak melayani hawa nafsu baik berhibur atau bersenang-senangan).

Agensi berita Antara melaporkan dari Bali bahawa bandar utama Denpasar yang setiap harinya padat lalu lintas, berubah menjadi lengang sepanjang warga Bali menyepi selama 24 jam sejak 6 pagi tadi.

Baik di bandar mahupun di desa hanya suara kicauan burung dan haiwan lain yang terdengar kerana puluhan ribu pelancong asing turut menghormati upacara Nyepi dengan tidak keluar dari hotel atau tempat penginapan masing-masing. Yang terlihat di jalan hanyalah beberapa orang "pecalang" (petugas keamanan adat) yang berjaga di jalan-jalan.

Pantai Kuta yang digemari pelancong Malaysia dan setiap hari dipenuhi pelancong asing yang berjemur di pantai dan bermain di laut, mahupun berjalan-jalan santai, juga seperti padang jarak padang tekukur dan senyap sunyi kecuali suara desiran ombak.

Petugas sebuah hotel, Hauri, ketika dihubungi Bernama, berkata memang suasana di Kuta berubah menjadi sunyi lantaran hotelhotel juga tidak memainkan sebarang muzik atau menyalakan sebarang lampu di luar bangunan.

"Pelancong yang menginap di hotelhotel juga sudah diberi peringatan supaya turut menghormati dengan berada di dalam premis hotel. Ramai tetamu kami juga menikmati suasana sunyi sepi ini, yang mungkin tidak dapat mereka nikmati di bandarbandar pelancongan lain di dunia," katanya.

Pemerintah Bali sejak beberapa minggu lepas sudah membuat pengumuman lazim tahunannya mengenai penutupan lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai yang mengendalikan 170 penerbangan setiap hari dan semua empat pelabuhan di sekitar Bali dan tidak seorangpun boleh keluar masuk Bali sepanjang 24 jam ini.

Selama Hari Nyepi juga tidak ada sesiapa pun dibenar menggunakan kenderaan kecuali orang sakit yang harus ke hospital untuk rawatan. BERNAMA

Artikel Lain