BAGAIKAN trend, masyarakat hari ini semakin gemar membeli barangan secara ansuran yang disifatkan lebih berbaloi dari segi harga.Pun begitu, kaedah bayaran tersebut turut mendapat tentangan sebilangan pihak yang menyifatkan ia sebagai cara 'menambah' hutang yang boleh menjerat kewangan individu. Pembelian telefon pintar jenama iPhone misalnya antara yang paling popular dengan kaedah bayaran ansuran terutamanya dalam kalangan generasi muda. Tampil mengulas isu berbangkit, seorang perunding kewangan Shaqil Haziq berkongsi tip berguna buat individu yang gemar membayar secara ansuran.Katanya, kaedah itu sebenarnya mampu memberi pulangan menguntungkan sekiranya dibelanjakan secara berhemah dan bijak."Contoh mudah harga iPhone RM6,999, cash RM6,999 memang dah ada tapi daripada saya keluarkan RM6,999 terus, saya pilih 0% installment selama 24 bulan, lebih kurang RM291.63 sebulan."Wang RM6,999 yang saya ada tadi pula saya simpan dalam ASB katakan pulangan sekitar lima peratus setahun."Walaupun setiap bulan saya keluarkan RM291.63 daripada simpanan tersebut untuk bayar installment, baki duit belum digunakan masih berpeluang menghasilkan pulangan."Dengan kiraan anggaran, sepanjang 24 bulan masih boleh dapat sekitar lebih kurang RM300 daripada duit yang sepatutnya dah habis kalau saya bayar cash pada hari pertama," katanya.Jelasnya, pilihan bayaran secara tunai dan ansuran acap kali dinilai secara berat sebelah namun hakikatnya masing-masing memberi pulangan tersendiri.Pengurusan wang secara efisien menurutnya lebih memihak kepada bayaran ansuran namun seseorang individu itu perlulah disiplin dalam melunaskan komitmen pinjaman."Sebab itu beli secara installment tak semestinya bermaksud seseorang itu tak mampu, kadang-kadang dia ada cash."Dia cuma pilih untuk urus cash flow dan gunakan duit dengan lebih efisien cuma syaratnya satu, kena betul-betul pembayaran tanpa caj, tiada caj tersembunyi dan kena disiplin bayar kad kredit," katanya.