AMALAN membuat bayaran secara pindahan dalam talian (online transfer) mahupun imbasan kod QR kini sudah menjadi norma baharu masyarakat kerana ia lebih cepat dan menjimatkan masa.Bukan sahaja golongan muda, malah generasi terdahulu juga sudah mula mempraktikkan amalan tanpa tunai (cashless) dalam urusan jual beli harian. Namun, kebergantungan kepada teknologi ini sedikit sebanyak dilihat mula menjejaskan kemahiran mengira individu, terutamanya mereka yang bekerja sebagai juruwang.Situasi itulah yang dikongsi oleh seorang pengguna Threads, Lokter Ong ketika mahu menyelesaikan bil makanannya di kaunter pembayaran.Memilih kaedah bayaran tunai, alangkah terkejutnya dia apabila juruwang bertugas seolah-olah terkaku dan bingung sewaktu mahu mengira duit baki."Semalam pergi makan dengan isteri, jumlah bil RM36.05. Saya memang ada tunai dalam dompet, jadi saya bayar RM51.10."Juruwang muda itu nampak terpaku. Matanya 'beku' pandang duit, pandang saya, kemudian pandang duit balik. Mungkin dia baru kerja."Saya terangkan perlahan-lahan. Siap ambil kertas dan ajar dia matematik... RM51.10 tolak RM36.05. Lima tolak tiga okay. Satu tak boleh tolak enam, kena pinjam 10 dari sebelah jadi 11 tolak enam. Akhirnya dia dapat juga jawapan RM15.05," katanya.Tegas individu itu, dia langsung tiada niat untuk mempersendakan individu terbabit, sebaliknya cuma mahu memudahkan urusan juruwang itu.Namun bagi Lokter, insiden itu secara tidak langsung membuktikan juruwang zaman sekarang sudah terbiasa dan lebih gemar menerima bayaran tanpa tunai."Adakah saya yang salah sebab bagi duit 'pelik-pelik'? Niat saya baik, cuma nak memudahkan juruwang berikan baki."Kalau saya bagi RM50, dia kena pulangkan RM13.95. Tapi rupanya zaman sekarang juruwang lebih harapkan kita bayar guna e-wallet, imbas QR, atau bayar jumlah tepat," ujarnya.