Hutang kad kredit boleh memerangkap individu sekiranya gagal dibayar pada tempoh ditetapkan. -Gambar hiasan AI
ISU hutang kad kredit sering menjadi bualan ramai malah trend bergantung kepada kemudahan pinjaman itu untuk menampung gaya hidup semakin membimbangkan.Tidak dinafikan penggunaan kad kredit memiliki kebaikan dan ganjaran tersendiri jika digunakan secara bijak. Namun bagi seorang pengguna Threads dikenali sebagai Lookfees, keputusan menggunakan kad kredit menjadi kesilapan terbesarnya.Bukan sahaja terpaksa menanggung hutang tetapi faedah pinjaman yang semakin meningkat saban tahun.Seawal usia 27 tahun, dia memiliki hutang kad kredit sebanyak RM15,800 selain kadar faedah sebanyak RM2,100 setahun."Gaji aku hanya RM2,400 sebulan. Hutang kad kredit aku RM14,000 dan aku bayar RM700 sebulan."Setahun lepas, baki (hutang kad kredit) bukan turun tapi naik jadi RM15,800."Malam itu aku tak lelap baca penyata sampai pagi sebab nampak satu baris yang buat aku tersentak sebab baris faedah RM2,100 setahun," katanya.Mula bimbang dengan keadaan itu, pemuda berkenaan cuba menghubungi pihak bank untuk memohon plan pembayaran tetap tanpa faedah selama 24 bulan.Sepanjang tempoh dua tahun itu, dia perlu membuat bayaran ansuran sebanyak RM660 sebulan.Disebabkan itu, dia terpaksa 'ikat perut' demi penjimatan kira-kira RM1,000 sebulan selain terpaksa menolak pelbagai godaan."Dua tahun itu makan nasi bungkus RM4 dan terpaksa tolak ajakan kawan-kawan."Bila aku cerita tentang masalah itu, kawan aku cakap 'kau gila? Itu duit kahwin kau!' Aku terpaksa diam saja," katanya.Bagaimanapun, berkat kesabaran dan penyesalan, dia berjaya melangsaikan semua hutang kad kredit."Dua tahun selepas itu aku selesaikan habis (hutang). Kad kredit itu aku potong depan awek aku, dia senyum."Bukan gaji yang bayar hutang tapi disiplin yang bayar. Korang pernah rasa tenggelam dengan hutang tak?" soalnya.Justeru, penggunaan kad kredit seharusnya disertai dengan perancangan yang teliti agar hutang tidak terus bertambah kerana ia boleh mengundang tekanan kepada kewangan jika gagal diurus dengan baik.