suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Waris merana kena gadai tanah, jenuh cari RM30,000 bayar peguam... Si mati tak tinggal ‘cash’ kos urus harta pusaka

Kos guaman bagi pengurusan harta pusaka boleh mencecah puluhan ribu ringgit mengikut kes. -Gambar hiasan AI

PENGURUSAN harta pusaka bukanlah satu perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam masa sehari dua.

Bahkan, pelbagai proses rumit perlu dilalui waris iaitu bermula daripada urusan penama, pembahagian mengikut faraid sehinggalah mendapatkan perintah pembahagian.

Segalanya memakan masa, tenaga serta komitmen yang tinggi sebelum harta tersebut dapat diserahkan mengikut ketetapan wasiat.

Namun, dalam kesibukan menguruskan dokumen, ramai terlepas pandang perkara penting iaitu kos pengurusan pusaka yang perlu dibayar kepada peguam.

Mana tidaknya, kos guaman ini boleh menelan belanja sehingga mencecah ribuan ringgit.

Situasi ini menyebabkan segelintir waris khususnya daripada golongan kurang berkemampuan terpaksa membuat keputusan sukar dengan menjual tanah pusaka demi melangsaikan bayaran guaman.

Realiti ini turut dikongsikan oleh pakar dan konsultan harta pusaka Mohd Fadzli Rozali di laman Threads mengenai satu kes di mana seorang individu terpaksa menjual tanah pusaka semata-mata mahu menanggung kos pengurusannya.

"Orang dulu-dulu memang kaya dengan tanah, tapi masalahnya jarang tinggalkan wang tunai... nak menguruskan pusaka perlukan duit.

"Sebagai contoh, ada satu kes di mana pusaka yang ditinggalkan bernilai RM3 juta dalam bentuk hartanah. Peguam beri sebut harga hampir RM30,000 untuk urusan pengurusan pusaka... itupun hanya untuk mendapatkan surat kuasa pentadbiran dan belum mendapatkan perintah pembahagian lagi.

"Tuan puan, (jumlah) ini adalah normal kerana yuran guaman untuk urusan pusaka biasanya antara satu peratus hingga dua peratus daripada nilai harta yang nak dicairkan," katanya.

Pun begitu, masalah itu menurut Fadzli boleh diselesaikan sekiranya pemilik harta merancang lebih awal dengan meletakkan arahan khusus dalam wasiat seperti kebenaran menggunakan dana daripada akaun simpanan atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tegasnya, penyediaan tabung dana urus pusaka seharusnya dijadikan satu keperluan wajib dalam perancangan wasiat bagi memudahkan urusan waris di kemudian hari.

"Segalanya perlukan duit, daripada memiliki harta hingga menguruskan pusaka selepas kematian. Jadi sebagai pemilik harta, penting untuk kita siapkan dana urus pusaka.

"Arahan boleh dimasukkan dalam wasiat dengan memberitahu wasi untuk gunakan dana daripada akaun simpanan, KWSP atau manfaat kematian daripada sijil takaful bagi kos pengurusan pusaka.

"Wasi yang dilantik dalam wasiat akan jalankan amanah ini mengikut hasrat kita di dalam wasiat," ujarnya.

Artikel Lain