PAKAIAN tradisional Melayu cukup terkenal dengan kesenian pembuatannya yang menjadikan ia unik dan tidak ditelan dek zaman.Jika diteliti, keunikan rekaannya bukan sahaja menarik tetapi mempunyai fungsi tersendiri yang berkait rapat dengan cara hidup masyarakat terdahulu. Antaranya ialah pesak pada seluar Melayu yang mungkin kelihatan ringkas namun sebenarnya reka bentuk unik ini memudahkan pergerakan si pemakai.Menurut perkongsian Ummu Fath, seorang penggiat dan penjual busana warisan Melayu di Threads, kewujudan pesak yang lebar pada seluar Melayu bukanlah dibuat tanpa sebab.Malah reka bentuk tersebut dikatakan berkait rapat dengan cara masyarakat Melayu dahulu duduk, bergerak dan melakukan aktiviti harian."Pernah terfikir kenapa seluar Melayu ada pesak yang begitu lebar?"Rupanya reka bentuk ini bukan sekadar untuk keselesaan, ia berkait dengan cara orang Melayu duduk, bergerak dan bahkan cara mereka ke tandas," katanya.Pesak pada seluar memberikan ruang tambahan di bahagian kelangkang serta membolehkan pemakai bergerak dengan lebih bebas.Reka bentuk sebegini amat sesuai dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang banyak melakukan aktiviti dalam posisi duduk di lantai seperti bersila, bersimpuh dan mencangkung.Menariknya, selain mempunyai pesak yang lebar, seluar tradisional ini juga mempunyai beberapa cara pemakaian dan lipatan bersesuaian dengan aktiviti yang dilakukan.1. Simpul matiCara ini merupakan pemakaian biasa yang sesuai digunakan ketika melakukan pelbagai aktiviti harian.Ikatan berkenaan menjadikan seluar lebih kemas dan memastikan pakaian kekal pada kedudukannya ketika pemakai bergerak, bekerja atau melakukan aktiviti seharian.2. Lipatan kain sarungSeluar dilipat dengan teknik tertentu sehingga kelihatan seakan-akan pemakaian kain sarong.Gaya ini sesuai untuk aktiviti yang tidak terlalu lasak dan boleh menjadi pilihan bagi individu yang mempunyai kesukaran untuk mengikat seluar menggunakan kaedah biasa.3. Lipatan sebelahKaedah ketiga pula ialah lipatan sebelah yang menghasilkan gulungan lebih kecil, kemas dan menjimatkan penggunaan kain.Teknik ini membolehkan kain digunakan secara maksimum tanpa mengganggu pergerakan pemakai.Walaupun seluar pesak sering dikaitkan dengan pakaian lelaki, ia sebenarnya turut sesuai dipakai oleh golongan wanita malah dengan teknik lipatan tertentu, seluar berkenaan boleh menyerupai pemakaian kain sarung.Satu lagi ciri menarik terdapat pada sesetengah seluar Melayu ialah tali di bahagian belakang pinggang yang dikenali sebagai 'tali kencing'.Istilah tersebut mungkin kedengaran pelik bagi generasi hari ini, namun ia sebenarnya merujuk kepada fungsi ikatan sebelum penggunaan zip atau butang menjadi kebiasaan di zaman moden.