PULUHAN tahun bertugas di awan biru, mengendali pesawat merentasi pelbagai destinasi, meninggalkan pelbagai pengalaman sukar dilupakan buat seorang juruterbang veteran.Bukan sekali dua, malah empat kejadian pelik pernah dilaluinya ketika bertugas termasuk penampakan makhluk menyeramkan di luar cermin kokpit serta gangguan di dalam kabin. Kisah seram itu dikongsikan oleh Ahmad Razlah, selepas menerima soalan daripada seorang pengikutnya di media sosial yang ingin tahu sama ada juruterbang pernah berdepan gangguan ghaib sewaktu penerbangan malam.Persoalan itu akhirnya membuka kembali beberapa pengalaman pernah dilalui juruterbang berusia 65 tahun itu sepanjang bertugas di udara.Apa yang diceritakannya bukan sekadar kelibat sekelip mata di balik awan, sebaliknya ada insiden yang sampai mencetuskan panik dalam kalangan penumpang serta anak kapal.Salah satu pengalaman paling menyeramkan berlaku ketika penerbangan dari Taipei, Taiwan ke Kota Kinabalu, Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, semasa era sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi.Ketika itu, penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur berlepas 'kosong', tanpa penumpang selepas penerbangan mengalami kelewatan akibat hujan lebat.Suasana tenang tengah malam itu tiba-tiba gempar apabila salah seorang pramugari yang bertugas di bahagian belakang berlari ke kokpit dalam keadaan menangis dan menggigil ketakutan."Kapten, kapten, kapten," imbasnya, masih terngiang-ngiang panggilan cemas pramugari itu ketika mendapatkan bantuannya.Apabila ditanya apa yang berlaku, pramugari itu mendakwa terlihat kelibat perempuan sedang terbang di luar pesawat.Jawapan itu sesuatu yang sukar diterima akal fikiran pada mulanya.Pilot dan pramugari antara kerjaya yang memerlukan seseorang bertugas sehingga lewat malam. -Gambar hiasan AINamun, melihat keadaan pramugari itu yang begitu ketakutan, Razlah menyerahkan kawalan pesawat kepada pembantu juruterbang sebelum bersama ketua pramugari pergi ke bahagian belakang."Memang betul, ada satu lembaga seperti perempuan, bersayap, berwarna putih, bercahaya sambil tersenyum."Ia nampak kami berdua melalui tingkap pintu belakang, kanan. Tersenyum. Kemudian, berdesup ia terbang laju ke atas," mengimbas kembali kejadian yang membuatkan pengalaman tersebut kekal dalam ingatan.Pengalaman mistik itu bagaimanapun tidak berhenti di situ pada malam berkenaan.Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Razlah sekali lagi diuji dengan kejadian luar dugaan.Apa yang berlaku selepas itu lebih mengejutkan apabila lembaga berkenaan dikatakan berpatah balik sebelum berhenti betul-betul di hadapan cermin kokpit."Ada satu lembaga terbang melintas pesawat, tiba-tiba dia berpatah balik dan duduk di hadapan windscreen pesawat. "Wajah menakutkan, bertaring, rambut panjang. Pembantu juruterbang saya terperanjat dan pengsan. Kemudian 'benda' tu terbang dan hilang. Saya berpatah balik sebab co-pilot saya pengsan," ceritanya lagi.Tidak cukup dengan itu, satu lagi kejadian seram berulang dalam penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur apabila dua lembaga hitam didakwa muncul dan berlegar-legar di bahagian belakang kabin.Gangguan itu menyebabkan seorang pramugari pengsan, manakala kira-kira 12 penumpang yang berada di dalam pesawat turut menyaksikan kejadian itu dengan mata kepala sendiri."Semua penumpang nampak. Masing-masing menjerit ketakutan. Saya pun baca ayat al-Kursi beberapa kali melalui pembesar suara pesawat."Lembaga-lembaga tersebut menjerit dan kemudian hilang," ujarnya lagi.Sementara itu, kejadian terakhir yang dikongsikan di Threads itu berlaku ketika penerbangan dari Delhi, India ke Kuala Lumpur.Ketika sejam sebelum mendarat di ibu kota, ketua pramugari memberitahu Razlah mengenai bunyi hilai tawa yang sangat jelas kedengaran dari tandas di bahagian hadapan pesawat."Ketua pramugari yakin tiada siapa di dalam. Saya beritahu dia... biarkan. Setelah mendarat dan setelah semua penumpang keluar dari pesawat, saya arahkan, pintu pesawat ditutup semula."Saya kemudiannya melaungkan azan di pembesar suara. Tiba-tiba pintu tandas terbuka dan satu lembaga keluar. Ia lari ke belakang dan hilang," jelasnya.Empat kejadian itu menjadi antara pengalaman paling misteri pernah dilalui Razlah sepanjang puluhan tahun mengendalikan pesawat di awan biru, dengan setiap satunya meninggalkan cerita tersendiri yang sukar dilupakan.