suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Aku masih di sini” - Misteri mimpi wanita menangis di bibir telaga terurai, pekerja tergamam jumpa rangka manusia disimen!

Telaga usang sering dikaitkan dengan unsur mistik. -Gambar hiasan AI

MIMPI sering kali dianggap sekadar mainan tidur yang berlalu pergi.

Namun bagi segelintir jiwa yang pernah 'dilemparkan' ke alam misteri itu, pengalaman mistik berkenaan tersangat sukar dijelaskan dengan logik akal sehingga meninggalkan trauma yang mendalam.

Begitulah detik hitam penuh misteri yang pernah meragut ketenteraman hidup Haikal Ismail sekeluarga apabila takdir mempertemukan mereka dengan sebuah 'permintaan' dari alam ghaib.

Mengimbau semula kejadian yang berlaku sekitar Januari tahun lalu, ujarnya pada masa tersebut bapanya ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan di sebuah rumah pusaka lama di Bentong, Pahang.

Menurut pemuda berusia awal 20-an ini, ketika insiden misteri itu bermula, bapanya bekerja sebagai pekerja kontraktor selepas memilih untuk bersara awal dari sebuah kementerian di Putrajaya.

Sebagai orang baharu, bapanya ditugaskan  membersih sebuah rumah usang bersama telaga lama yang sudah berpuluh tahun tidak digunakan.

Ujarnya, pembersihan itu bagi membolehkan perobohan dilakukan supaya projek pembangunan baru dapat dilakukan.

Proses mengeluarkan air telaga perlu dilakukan bagi membolehkan pembangunan semula dilakukan. -Gambar hiasan AI

Proses mengeluarkan air telaga perlu dilakukan bagi membolehkan pembangunan semula dilakukan. -Gambar hiasan AI

"Pada hari pertama, segala-galanya berjalan seperti biasa je. Tapi keesokannya ayah cerita yang dia alami mimpi menakutkan.

"Dalam mimpi tu dia berada di hadapan telaga yang sedang dia bersihkan tapi hanya dia sendirian dalam keadaan sunyi sepi.

"Ayah cakap yang dia berada dalam keadaan terpinga-pinga masa tu sehinggalah disapa seorang wanita berambut panjang yang berdiri di bibir telaga," ujarnya menceritakan semula kejadian yang berlaku.

Wanita itu kelihatan kaku tidak bergerak,  hanya mengangkat tangan perlahan-lahan ke arah dasar telaga sebelum berbisik, 'aku masih di sini' berulang kali. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Suapan pertama terus nampak dia berbaju Jawa” - Hidup jurutera kilang musnah, jadi separuh gila ‘dikangkang’ wanita seberang

"Sebaik terjaga, ayah menyatakan seluruh badannya dibasahi peluh walaupun penyaman udara masih terpasang," tambahnya.

Menurut Haikal, gangguan berpuaka itu tidak terhenti di alam mimpi sahaja, sebaliknya entiti misteri berkenaan mula 'menjelma' ke alam nyata untuk mengganggu bapanya.

Malah, dia sendiri pernah tersentak apabila terdengar bunyi aneh seperti baldi besi bergesel pada dinding konkrit selain bunyi percikan air yang sangat kuat di luar rumah sekitar pukul 3 pagi.

Namun anehnya, apabila diperiksa, tiada kelibat sesiapa pun di situ.

Masuk malam keempat, mimpi ngeri yang sama kembali menghantui lena bapanya dengan petunjuk yang semakin jelas dan menakutkan.

"Kali ini ayah cakap yang wanita berkenaan dilihat menangis sambil menunjuk ke dasar telaga sebelum wajahnya perlahan-lahan tenggelam ke dalam air hitam.

"Mimpi pelik yang berlaku itu membuatkan ayahnya memberanikan diri meminta ketuanya mengeringkan keseluruhan telaga kerana mendakwa ada sesuatu yang tidak kena di bahagian dasar. 

Penemuan rangka merungkai mimpi ngeri bapanya. -Gambar hiasan AI

Penemuan rangka merungkai mimpi ngeri bapanya. -Gambar hiasan AI

"Walaupun rakan-rakan menganggap dia terlalu mengikut perasaan, permintaannya tetap dipenuhi," tambahnya.

Haikal berkata, sebaik sahaja air telaga yang hitam itu habis disedut keluar, suasana bertukar menjadi gempar apabila para pekerja menemui satu lapisan simen misteri yang kelihatan masih baharu berbanding struktur asal telaga purba tersebut.

Bagaikan sudah tertulis rahsia bertahun-tahun bakal terbongkar, apabila lapisan simen itu dipecahkan, mereka semua tergamam dan terkedu melihat beberapa cebisan tulang yang mencurigakan sebelum segala kerja dihentikan serta-merta dalam suasana panik.

"Kemudian pihak polis dipanggil ke lokasi dan pemeriksaan forensik menemukan rangka manusia yang dipercayai telah berada di situ sejak bertahun-tahun lamanya. 

"Siasatan lanjut turut dikaitkan dengan laporan kehilangan seorang wanita yang gagal diselesaikan beberapa tahun sebelumnya," imbaunya lagi mengenai plot twist yang merungkai sebuah kes jenayah tersembunyi.

Susulan penemuan rangka yang mengejutkan itu, Haikal menyatakan bahawa bapanya tidak lagi diganggu atau bermimpi mengenai wanita berambut panjang berkenaan selepas kesemua sisa rangka mangsa dibawa keluar dengan sempurna dari telaga hitam berkenaan.

Bagi mereka sekeluarga, gangguan mistik yang dialami bapanya itu sebenarnya bukanlah niat untuk menyakiti.

Sebaliknya seolah-olah ia adalah cara dan rayuan terakhir 'wanita' terbabit yang terperangkap dalam kegelapan untuk meminta pertolongan agar aibnya terbongkar.

Artikel Lain