Rumah kayu tingkap nako sarat koleksi antik imbau nostalgia silam - I-suke | mStar

Rumah kayu tingkap nako sarat koleksi antik imbau nostalgia silam

Setiap inci dalaman dilengkapi dengan barangan klasik.

SEBUAH rumah kayu berwarna kelabu dengan tingkap nako di tepi Jalan Galing Besar di Kuantan, Pahang sering menjadi perhatian ramai.

Jika diteliti, rumah itu dengan tangga batu dan cermin tingkap nako sama sahaja seperti rumah lama lain, sehinggalah pengunjung menjejak kaki ke bahagian dalam rumah tersebut.

Ini kerana, setiap inci dalamannya 'dihiasi' dengan barangan antik, menjadikan pengunjung seolah-olah dibawa kembali ke zaman klasik yang bagi kebanyakan orang hanya dilihat dalam filem lama lakonan seniman negara Tan Sri P. Ramlee.

ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan boleh erat hubungan keluarga... Buat 5 aktiviti ‘fun’ ini di rumah

Peniaga, Ahmad Shirmi Tamsin, 35, selaku seorang daripada tiga pentadbir Rumah Klasik Kuantan (RKK) berkata mereka sudah lali dengan reaksi pelawat yang menyifatkan kedatangan ke situ membangkitkan nostalgia lama.

"Rumah ini dibahagi kepada beberapa bahagian dengan setiap satu dipenuhi barangan antik menghidupkan kenangan lama, seperti ruangan dapur yang dilengkapi pinggan mangkuk dan koleksi mangkuk tingkat lama yang sering digunakan nenek moyang zaman dulu.

Ruang rumah yang kemas dan penuh klasik.

"Begitu juga dengan ruang tamu dan bilik tidur ...semuanya perabot lama dan dikekalkan seperti keadaan asal supaya zaman nostalgia itu hidup dalam diri setiap pengunjung," katanya semasa ditemui Bernama baru-baru ini.

Ahmad Shirmi berkata rumah itu yang disewa daripada anak jati Kuantan dibina sekitar 1950-an dan hanya diubah suai sekali sahaja iaitu pada 1970-an menjadikan ia 'keputusan paling tepat' untuk mereka menghimpunkan barangan klasik di situ.

Imbas anak jati Pahang itu, rumah itu pada asalnya dijadikan lokasi peminat barangan antik berhimpun sebelum mereka sepakat menjadikannya sebagai lokasi menghimpun dan mempamer yang akhirnya membawa kepada penubuhan RKK pada 2016.

"Siapa sangka konsep klasik yang diketengahkan juga menarik minat ramai orang sehingga rumah ini menjadi pilihan kepada pasangan pengantin dan keluarga yang mahu merakam gambar dalam suasana  lama.

"Selain perabot lama, RKK juga mempunyai sudut rumah pasung atau balai polis, kelas, sudut pustaka dan ruangan kedai gunting rambut dan kedai makan lama," katanya.

Ahmad Shirmi berkata balai polis itu, sebagai contoh mempamerkan pakaian seragam polis dan laporan polis tulisan tangan dari tahun 1966 serta keratan akhbar supaya ditubuhkan pasukan peronda kampung bagi menghadapi ancaman komunis.

Rumah ini dilengkapi dengan barangan-barangan tradisonal.

Sementara ruangan kelas yang 'dihidupkan' di satu daripada dua bilik rumah itu pula menyimpan barangan paling lama di RKK iaitu sebuah pengasah pensel besi daripada Jerman yang diperbuat pada 1920.

Bagi kaum wanita, sudah pasti tarikan utama adalah bahagian dapur kerana terdapat replika dapur kayu dan tikar bersama tudung saji tiga segi yang diperbuat daripada mengkuang selain beberapa tin susu dan minuman dari zaman lama tersusun di para kayu berhampiran dapur.

Tidak hanya dengan peralatan antik, Ahmad Shirmi berkata RKK yang terletak kurang 30 minit perjalanan dengan kenderaan dari pusat bandar kuantan, turut mempamerkan wang kertas lama dan gambar lama Kesultanan Pahang serta bandar Kuantan.

"Kami mahu generasi muda tidak lupa sejarah, menyebabkan kami sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk mewujudkan RKK, walaupun banyak berhadapan dengan dugaan daripada mereka yang cuba menjual barangan palsu.

"Bagaimanapun, minat dan pengalaman menyebabkan kami lebih berhati-hati dalam menilai supaya tidak terpedaya bagi membolehkan pengunjung dapat menikmati pengalaman berada di zaman lama yang sebenar," katanya.

Rumah Klasik , Kuantan , Tradisional

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain