suria

Pernah terfikir kerjaya sebagai 'pengasuh' pokok? Tentu sekali khidmat ini dinantikan pencinta indoor plants

Anak perempuan Nadrah bersantai di ruang tamu kediaman mereka.

PADA asalnya, suri rumah ini hanya ingin menyediakan persekitaran yang lebih bersih untuk anak lelakinya yang didiagnos sebagai autisme.

Namun, kecintaan Nadrah Mohd Radzi, 38, terhadap tumbuh-tumbuhan dalam rumah atau 'indoor plants' menjadi semakin mekar selepas mengalami sendiri perubahan dalam kehidupan harian keluarganya.

Tiada lagi kegatalan pada kulit dan selsema setiap pagi, tumbuh-tumbuhan di segenap sudut kediamannya turut membantu menangani masalah sukar tidur pada malam hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Hias rumah... tiada yang betul atau salah, semuanya berbalik kepada citarasa masing-masing

"Segalanya bermula disebabkan anak lelaki saya, dia disahkan autisme... masa tu udara tidak begitu bersih.

"Jadi saya mula belajar untuk menyediakan suasana yang lebih baik untuk kediaman. Dari situ saya dapat tahu tumbuh-tumbuhan boleh membantu mengawal imsomnia dan sinus," katanya ketika ditemui mStar di rumahnya di Shah Alam baru-baru ini.

Lihatlah betapa harmoninya susun atur pokok di kediaman Nadrah ini.

Beliau yang kerap memuat naik gambar tumbuh-tumbuhan di Instagram @nadrah_radzi berjaya mengumpul pengikutnya tersendiri kerana gemar berkongsi informasi tentang penjagaan pokok.

Menariknya, bekas guru seni di sekolah antarabangsa itu belajar segalanya tentang indoor plants secara sendiri, melalui bacaan buku dan daripada rakan-rakannya.

Nadrah yang juga seorang pengkarya seni kertas berkata, pokok-pokok tersebut turut membantu menyingkirkan pencemaran udara dalam rumah, selain menghasilkan oksigen pada sebelah malam.

Bertitik dari situ juga Nadrah mula mengenali karakter setiap pokok dengan lebih mendalam bersama komuniti Crazy Plant People Asia yang dibangunkannya bersama peminat tumbuhan yang lain.

Bercerita lanjut kepada mStar, terdapat dua elemen penting yang harus diberi perhatian jika seseorang itu berhasrat untuk menghias kediaman dengan tumbuh-tumbuhan.

Seeloknya pasang bidai di tingkap untuk melindungi pokok daripada haba, siram pokok sebelum keluar rumah dan letakkan bekas air berhampiran kawasan pokok.

NADRAH

"Iklim adalah elemen paling penting dalam penjagaan pokok, tidak semestinya rumah anda dan jiran menerima iklim yang sama walaupun tinggal bersebelahan.

"Sinaran matahari yang menghadap utara, selatan, timur dan barat memainkan peranan penting juga.

"Pokok perlukan kelembapan yang tinggi untuk hidup dengan sihat," jelas ibu kepada sepasang cahaya mata itu.

Tambah ibu yang mendidik sendiri anak-anaknya di rumah itu (homeschool), kerisauan terhadap jangka hayat pokok tidak boleh dielakkan sekiranya penghuni rumah terpaksa meninggalkan kediamannya untuk suatu tempoh yang lama.

Katanya, tanah bagi tumbuhan dalam rumah akan lambat kering, tidak seperti pokok di luar kediaman yang perlu disiram air setiap hari.

Nadrah belajar tentang pokok secara sendiri.

"Kalau setakat tinggalkan rumah tiga atau empat hari, anda tak perlu risau sangat. Hanya perlu siram air sebelum tinggalkan rumah.

"Seeloknya pasang bidai di tingkap untuk melindungi pokok daripada haba, siram pokok sebelum keluar rumah dan letakkan bekas air berhampiran kawasan pokok.

"Tujuannya, pokok tu nanti akan sejat air dari bekas tersebut untuk kekalkan kelembapan," jelas beliau.

Bagaimanapun, seperti manusia, pokok juga memerlukan 'pengasuh' untuk memastikannya tidak mati apabila ditinggalkan terlalu lama.

Menurut Nadrah, terdapat individu yang menawarkan perkhidmatan menjaga pokok sepanjang ketiadaan penghuni di rumah.

Nampak kemas. Dekorasi tumbuhan di ruang meja ini mampu menaikkan semangat untuk bekerja atau menonton video di YouTube!

Namun, harga yang ditetapkan agak tinggi memandangkan individu tersebut harus berulang-alik ke kediaman pelanggan bagi memastikan pokok itu dalam keadaan baik.

Situasi itu membuatkan penulis berfikir, peluang menjalankan perniagaan yang tidak pernah terlintas sebelum ini seperti pengasuh pokok mampu menjadi sumber pendapatan lumayan sekiranya terdapat permintaan.

Bagi mereka yang berminat untuk memupuk hobi yang sama, komitmen adalah perkara terpenting yang perlu diberikan perhatian.

Kata Nadrah, tumbuh-tumbuhan juga sama seperti haiwan peliharaan yang memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan ia kekal subur dan sihat.

Artikel Lain