Binaan bahagian hadapan peluru berpandu yang menjadi tempat burung merpati untuk memandu arah. -Agensi
SIAPA sangka burung merpati yang sering kita lihat di taman atau kaki lima bandar sebenarnya pernah hampir memainkan peranan besar dalam sejarah ketenteraan dunia?Projek pelik tapi benar ini dinamakan sebagai Project Pigeon yang kemudiannya dikenali sebagai Project Orcon, diterajui oleh pakar psikologi tingkah laku terkenal, B.F. Skinner. Ia bermula apabila pihak tentera AS berdepan masalah besar untuk memastikan bom luncur atau glide bombs mereka mengenai sasaran dengan tepat.Pada waktu itu, teknologi canggih seperti sistem radar moden mahupun GPS masih belum wujud.Melihat kepada situasi tersebut, Skinner yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan tampil dengan cadangan luar biasa apabila beliau mahu meletakkan tiga ekor burung merpati di dalam muncung peluru berpandu untuk bertindak sebagai pemandu arah.Walaupun idea itu dianggap sebagai 'kerja gila' dan tidak masuk akal, pihak tentera yang terdesak akhirnya bersetuju memberikan dana sebanyak $25,000 (RM101,700) bagi membiayai projek penyelidikan tersebut.Bagaimana seekor burung boleh mengemudi senjata pemusnah besar? Di sinilah Skinner menggunakan kepakarannya dalam kaedah pelaziman operan atau operant conditioning.Di bawah projek ini, merpati terbabit dilatih di dalam makmal untuk mematuk imej tertentu. Dalam projek ini, objek yang dipilih adalah kapal perang musuh. Setiap kali burung itu mematuk tepat pada sasaran, mesin khas akan memberikan ganjaran makanan berupa bijirin. Di dalam muncung peluru berpandu, Skinner membina kokpit mini lengkap dengan skrin kecil. Lensa di bahagian luar akan memancarkan pandangan sebenar di hadapan bom tersebut terus ke skrin.Apabila bom itu tersasar daripada laluan, imej kapal perang pada skrin akan beralih ke tepi. Merpati yang mahukan makanan akan terus mematuk imej yang bergerak itu. Pergerakan patukan burung pada skrin tersebut secara mekanikal akan menarik kabel yang mengawal peluru berpandu untuk kembali ke laluan asal.Lebih menarik, Skinner menggunakan 'sistem demokrasi' yang mana keputusan arah ditentukan melalui undian majoriti daripada tiga ekor burung bagi mengelakkan kemalangan jika ada burung yang tiba-tiba 'termenung' atau hilang fokus.Meskipun ujian simulasi menunjukkan keputusan luar biasa dengan tahap ketepatan mencecah 99 peratus termasuk tabiat burung tersebut yang langsung tidak terkesan dengan bunyi letupan kuat perang, projek ini akhirnya dibatalkan pada tahun 1944.Pegawai tertinggi tentera dilapor enggan meneruskan projek itu kerana berasa agak tidak masuk akal untuk negaranya menyerahkan nasib senjata bernilai jutaan dolar kepada 'otak burung' yang hanya memikirkan tentang makanan. -Agensi