BERITA baik buat penduduk Johor yang sedang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan prospek kerjaya kini mempunyai peluang berbuat demikian!Lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan sempena Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI yang akan berlangsung di Setia Convention Hall, Setia Tropika di Johor Bahru pada Ahad. Program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi portal pekerjaan nasional MYFutureJobs itu menghimpunkan pelbagai majikan terkemuka daripada sektor pembuatan, perkhidmatan, pengangkutan dan industri makanan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.Menurut PERKESO, pelbagai jawatan ditawarkan merangkumi peringkat operator sehingga pengurusan kanan, sekali gus membuka peluang kepada pencari kerja daripada pelbagai latar belakang akademik dan kemahiran.Pelbagai jawatan yang ditawarkan hadir dengan pakej gaji kompetitif bermula sekitar RM3,500. Antara syarikat yang akan membuka kaunter temu duga secara terus termasuk YTL Data Centre, Celestica Electronics, Flextronics Shah Alam, Super Micro Computer Malaysia dan Handal Indah.Tidak ketinggalan Guan Chong Cocoa Manufacturer, SK 8 Engineering, Tiger Balm (M) dan Novotel Johor Bahru City Centre."Karnival ini memberi peluang kepada pencari kerja untuk berinteraksi secara terus dengan majikan serta menjalani sesi temu duga pada hari yang sama tanpa perlu menunggu panggilan susulan," menurut kenyataan PERKESO.Lebih menarik, pelbagai jawatan yang ditawarkan hadir dengan pakej gaji kompetitif bermula sekitar RM3,500 sebulan bagi jawatan operasi sehingga RM16,000 sebulan untuk jawatan profesional dan pengurusan kanan.Karnival tersebut menyasarkan pelbagai kategori pencari kerja termasuk graduan baharu, lepasan SPM, graduan TVET, pemegang diploma dan ijazah, individu berkemahiran teknikal serta mereka yang ingin bertukar bidang pekerjaan.Antara syarikat yang akan membuka kaunter temu duga secara terus.Selain peluang pekerjaan, pengunjung turut boleh mendapatkan khidmat kaunseling kerjaya, pemprofilan kemahiran dan bimbingan pembangunan kerjaya secara percuma daripada pegawai berpengalaman PERKESO.Dalam masa sama, pengunjung berpeluang mengunjungi zon MYFutureJobs Rover yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, cabaran menarik dan permainan santai dengan hadiah serta cenderamata eksklusif untuk dimenangi.PERKESO turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan perlindungan sosial termasuk Skim LINDUNG 24 Jam untuk pekerja, LINDUNG Kendiri bagi individu bekerja sendiri serta LINDUNG Kasih yang dikhaskan untuk suri rumah.Orang ramai yang berminat digalakkan membuat pendaftaran awal melalui portal MYFutureJobs atau hadir terus ke lokasi karnival bagi merebut peluang kerjaya yang ditawarkan.