Perkataan 'agak-agak' menggambarkan anggaran sesuatu bahan yang dimasukkan dalam masakan tanpa sukatan tepat. -Gambar hiasan AI
PERKATAAN yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian seperti “agak-agak”, “kaypoh” dan “boleh” kini secara rasmi dimasukkan ke dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED), sekali gus mengiktiraf pengaruh linguistik di rantau ini.Pengumuman itu dibuat oleh Oxford Languages pada Selasa yang memaklumkan 14 perkataan baharu dari Malaysia dan Singapura telah dimasukkan dalam kemas kini OED edisi Mac 2026, selain beberapa entri sedia ada yang turut disemak semula. Antara entri yang mencuri perhatian ialah “agak-agak”, yang boleh digunakan sebagai kata nama dan kata kerja. Ia merujuk kepada tekaan atau anggaran, terutamanya dalam konteks masakan apabila bahan dimasukkan secara agak-agak tanpa sukatan tepat.Turut tersenarai ialah “wayang”, yang bukan sahaja merujuk kepada persembahan teater menggunakan boneka atau penari, tetapi juga membawa maksud kiasan seperti kepura-puraan atau sesuatu yang dibuat-buat.Perkataan “boleh” pula diberikan definisi sebagai kata kerja yang menunjukkan keupayaan melakukan sesuatu.ARTIKEL BERKAITAN: ‘Storage’ iPhone asyik penuh? Bukan gambar saja punca, ini 5 langkah ‘bersihkan’ telefon anda Menariknya, ia juga diiktiraf sebagai kata seru yang membawa maksud persetujuan atau kelulusan, sesuatu yang sangat sinonim dengan gaya percakapan rakyat tempatan.Dalam masa sama, beberapa kata pinjaman daripada bahasa Hokkien turut dimasukkan, termasuk “kaypoh” merujuk kepada individu suka menjaga tepi kain orang, serta “jialat” yang menggambarkan situasi sukar atau bermasalah.Selain itu, beberapa istilah lain dari rantau ini yang kini mendapat pengiktirafan global termasuklah “assam laksa”. “ais kacang”, “Mat Salleh”, “main-main” (bermaksud tidak serius atau sekadar bergurau).Menurut Oxford Languages, sesuatu perkataan hanya akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam OED selepas bukti penggunaan dikumpulkan daripada pelbagai sumber bebas.Ia juga perlu menunjukkan bahawa perkataan tersebut telah digunakan secara meluas dan konsisten dalam tempoh masa tertentu.Ringkasnya, kemasukan istilah tempatan ini bukan sahaja mencerminkan keunikan bahasa Malaysia dan Singapura, malah membuktikan bahawa bahasa harian kita turut memberi impak di peringkat antarabangsa.