Terdapat pelbagai bakteria bahaya pada manusia dalam air laut boleh memudaratkan kesihatan manusia. -Gambar hiasan AI
LUKA kecil atau calar mungkin kelihatan tidak berbahaya, namun ia boleh menjadi laluan kepada jangkitan serius jika terkena air yang mengandungi bakteria tertentu.Situasi itu berlaku di Louisiana, Amerika Syarikat apabila lima kematian dilaporkan akibat jangkitan vibrio vulnificus, sejenis bakteria yang boleh dijumpai dalam air laut dan air payau yang hangat. Menurut Public Health Malaysia, jangkitan bakteria ini boleh berlaku apabila air yang mengandungi vibrio vulnificus terkena pada luka terbuka, termasuk luka kecil atau sekadar calar pada kulit.Pada sesetengah keadaan, jangkitan boleh berkembang dengan agresif sehingga kawasan luka menjadi merah, bengkak dan sangat sakit, selain berubah warna atau mula melepuh.Jika jangkitan menjadi lebih serius, ia boleh menyebabkan kematian tisu, jangkitan dalam darah, amputasi dan dalam keadaan tertentu, boleh membawa kepada kematian.Risiko untuk mengalami komplikasi serius juga lebih tinggi dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit hati, diabetes atau sistem imun lemah.Bukan hanya melalui luka, vibrio vulnificus juga boleh menjangkiti manusia melalui makanan laut mentah atau kurang masak, terutama tiram mentah.Sehubungan itu, mereka yang mempunyai luka terbuka dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada masuk ke air laut atau air payau bagi mengurangkan risiko jangkitan.Sekiranya terpaksa berada di dalam air, luka berkenaan perlu dilindungi dengan dressing kalis air supaya tidak terkena air secara langsung.Bagaimanapun, jika luka menjadi semakin sakit, merah, bengkak atau mula melepuh selepas terkena air laut, jangan tunggu keadaan menjadi lebih teruk sebaliknya segera mendapatkan rawatan.