suria

Buka peti sejuk terus bau busuk menyengat? Cuba 5 tip ini, paling penting selamat dan mesra poket

Gangguan bekalan elektrik menyebabkan barangan dalam peti sejuk rosak. -Gambar hiasan AI

SELEPAS beberapa hari meninggalkan rumah untuk pulang beraya di kampung, ramai yang kembali dengan satu cabaran kurang  menyenangkan, iaitu bau busuk dari peti sejuk.

Keadaan menjadi lebih teruk jika berlaku gangguan elektrik dalam tempoh ketiadaan, menyebabkan makanan rosak dan meninggalkan bau yang kuat serta melekat. 

Walaupun sudah dibersihkan, ada kalanya bau tersebut tetap berlarutan dan sukar dihilangkan.

Seorang pengguna di Threads tampil berkongsi beberapa cara berkesan untuk menghapuskan bau tidak menyenangkan dalam peti sejuk, termasuk teknik yang jarang diketahui tetapi terbukti membantu.

1.⁠ ⁠Cuci sekali lagi

•⁠  ⁠Cabut plug peti ais terlebih dahulu

•⁠  ⁠Keluarkan semua rak dan laci

•⁠  ⁠Basuh menggunakan air suam dan sabun

•⁠  ⁠Lap semula dengan campuran cuka dan air (nisbah 1:1)

Cuka bukan sekadar menutup bau, sebaliknya membantu meneutralkan bau busuk dengan lebih berkesan.

2.⁠ ⁠Guna baking soda dan lemon

Selepas proses pembersihan, letakkan bahan semula jadi ini untuk membantu menyerap bau:

•⁠  ⁠Taburkan baking soda di dalam peti sejuk dan biarkan semalaman

•⁠  ⁠Letakkan hirisan lemon atau limau

Baking soda bertindak menyerap bau, manakala lemon memberikan kesegaran tambahan.

3.⁠ ⁠Roti dan cuka panas

•⁠  ⁠Letakkan semangkuk air panas yang dicampur cuka

•⁠  ⁠Rendam beberapa keping roti di dalamnya

•⁠  ⁠Tutup pintu peti sejuk dan biarkan semalaman

Wap daripada cuka membantu ‘menarik keluar’ bau yang terperangkap di celah-celah ruang.

4.⁠ ⁠Gunakan bahan penyerap bau semula jadi

Sebelum menghidupkan semula peti sejuk, letakkan beberapa bahan ini di dalamnya selama dua hingga tiga hari:

•⁠  ⁠Serbuk kopi kering

•⁠  ⁠Arang aktif (charcoal)

•⁠  ⁠Oat atau beras

Kesemua bahan ini berfungsi menyerap bau dengan efektif.

5.⁠ ⁠Periksa bahagian tersembunyi

Ramai yang terlepas pandang bahagian ini, sedangkan ia sering menjadi punca utama bau:

•⁠  ⁠Getah pintu (rubber seal) — tempat bau mudah melekat

•⁠  ⁠Lubang saliran (drain hole) — mungkin mengandungi air bertakung

•⁠  ⁠Bahagian belakang peti sejuk (drip tray) — sering menjadi sumber bau paling kuat

Jika bahagian ini tidak dibersihkan, bau busuk berkemungkinan besar akan kekal walaupun ruang utama sudah dicuci.

Artikel Lain