suria

Kaji semula polisi GEG, perkenal alternatif kawal bahaya rokok

GEG melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk tembakau termasuk vape terhadap generasi muda yang lahir selepas 2007.

MALAYSIA kini sedang berusaha untuk memperkenalkan polisi yang dikenali sebagai Generational End Game (Generasi Penamat atau GEG) bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk tembakau termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2007.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen.

Menurut RUU itu, individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang menggunakan produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Persatuan Pengguna Vape Malaysia (VCAM) dalam satu kenyataan berkata, polisi berkenaan adalah menentang sebarang bentuk penggunaan tembakau dan vape oleh pengguna di bawah umur, sama ada ia mengandungi nikotin atau tidak.

sidang parlimen RUU 2

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan di Parlimen.

Dengan peraturan yang ketat, semua produk vape hanya boleh dijual kepada pengguna dewasa secara selamat dan sah.

Menurutnya, jika tiada alternatif yang ditawarkan untuk pengguna, orang ramai khususnya akan mula mencari cara lain yang mungkin lebih berbahaya.

Permintaan produk tembakau dan vape meningkat di pasaran gelap

VCAM turut berkata, GEG boleh menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk produk tembakau dalam pasaran gelap.

Tanpa sekatan atau peraturan yang sewajarnya, produk tembakau yang dijual di pasaran gelap boleh dipalsukan, dan kemudiannya boleh menyebabkan kemudaratan anggota badan pengguna akibat bahan dan kualiti tidak terkawal.

Pasaran gelap tembakau di Malaysia kini menguasai hampir 60 peratus pasaran tembakau dan GEG hanya akan mencetuskan peningkatan saiz pasaran haram.

Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre Sdn Bhd (DARE), Pankaj Kumar berkata, larangan penjualan produk tembakau secara terang-terangan bagi mereka yang lahir selepas 2007 akan mengakibatkan perdagangan haram meningkat daripada 58.4 peratus pada Mac 2022 kepada 61.7 peratus.

"Ini secara tidak langsung melonjakkan saiz pasaran haram meningkat kepada RM8.7 bilion. Ini akan menyaksikan kehilangan hasil kerajaan daripada industri tembakau melebihi paras RM5 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Lambakan produk rokok dan tembakau yang tidak sah bukan saja mudah didapati, malah harganya juga murah dan ini akan mendatangkan bahaya kepada negara.

Kesan perniagaan

RUU tersebut turut memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya terhadap individu yang menjual atau mempamer produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

vape RONNIE CHIN

Dengan peraturan yang ketat, semua produk vape hanya boleh dijual kepada pengguna dewasa secara selamat dan sah.

Oleh itu, GEG bakal mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan, kesan sosial yang teruk kepada kumpulan berpendapatan rendah dan berpotensi menjejaskan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan ekoran undang-undang yang ketat.

Pankaj Kumar berkata, perniagaan mungkin merasa sukar untuk melaksanakan peruntukan undang-undang itu dan ia juga akan meningkatkan kos pematuhan.

"Dengan kos pematuhan yang lebih tinggi berkaitan rang undang-undang, perniagaan mungkin sukar untuk mengekalkan keuntungan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil. Mungkin ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka dan bakal menyebabkan beribu-ribu pekerja menganggur.

"Dalam kes lain, perniagaan mungkin terpaksa menggunakan langkah penjimatan kos untuk memastikan kos keseluruhan dapat dikawal," katanya dalam satu kenyataan.

Alternatif

Memang tidak dapat dinafikan, rokok membahayakan kesihatan dan gejala tersebut mendatangkan pelbagai penyakit terutama kanser paru-paru.

Tetapi bagaimana pula dengan alternatif tembakau lain yang diperkenalkan sebagai langkah alternatif dalam mengurangkan kesan kemudaratan tembakau?

Mungkin sukar untuk perokok tegar berhenti merokok tetapi peralihan kepada alternatif-alternatif yang kurang berbahaya berbanding rokok dilihat sebagai langkah yang lebih realistik.

Antara produk alternatif ialah vape, produk tembakau yang dipanaskan dan bukan dibakar (heat-not-burn).

Ia didapati lebih bagus untuk digunakan berbanding menghisap rokok biasa. Kajian menunjukkan rokok yang menyala dan membakar hingga 800 darjah Celsius akan mencetuskan lebih 6,000 bahan kimia, dan kira-kira 100 telah diklasifikasikan sebagai bahan berbahaya dan berpotensi memudaratkan.

dilarang merokok FAIHAN GHANI 2

Perniagaan mungkin merasa sukar untuk melaksanakan peruntukan undang-undang itu. -gambar hiasan

Tetapi bukanlah untuk produk alternatif seperti produk tembakau yang dipanaskan. Disebabkan ia tidak membakar dan tembakau yang digunakan hanya dipanaskan secukupnya untuk membebaskan nikotin dalam bentuk wap yang penuh rasa, maka tahap bahan kimia berbahaya dapat dikurangkan dengan ketara berbanding asap rokok.

Walaupun ia tidak bebas daripada risiko, ia merupakan alternatif yang lebih bagus daripada merokok, tetapi pilihan terbaik adalah untuk berhenti merokok.

Kesedaran itu amat penting

Adakah kempen kesedaran kemudaratan merokok berkesan sebagai kaedah pengajaran generasi muda di Malaysia?

Harus diingatkan bahawa akta baharu menerusi GEG tidak akan mencegah perokok dewasa sebagai perantara yang membekalkan produk tembakau kepada generasi muda.

Kemungkinan akan wujud pelbagai cara dan kaedah lebih kreatif dalam perdagangan produk tembakau dengan melibatkan golongan dewasa sebagai pengantara.

Sehubungan itu, keputusan untuk melarang penjualan produk tembakau dan rokok pada masa hadapan perlu dikaji semula agar ia memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak.

Kerjasama antara KKM dan kementerian lain serta agensi berkaitan dalam mengawal selia produk tembakau alternatif dan penguatkuasaan terhadap rokok haram amat diperlukan.

Ini termasuklah memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai bahaya merokok itu sendiri dan kefahaman produk tembakau alternatif lain termasuklah vape.

Cara mendidik generasi muda daripada sudut membentuk pemikiran yang rasional patut diutamakan. Ini dapat mengajar mereka membuat pilihan terbaik secara individu.

Jadi, keputusan bijak sepatutnya berada di tangan pengguna berbanding tangan kerajaan yang mengambil langkah drastik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain