suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Selamat jalan srikandi negara... Menutup tirai satu abad kehidupan, Tun Dr Siti Hasmah pergi tinggalkan seribu jasa

Permata negara kini telah pergi... Pemergian Dr Siti Hasmah nyata mengundang sebak di dada seluruh rakyat Malaysia.

KETIKA nama Tun Dr Mahathir Mohamad terus meniti di bibir rakyat sebagai negarawan ulung, berdirinya susuk tubuh seorang wanita hebat di sisinya yang turut melakar sejarah tersendiri.

Bukan sekadar peneman setia kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah permata negara.

Beliau adalah seorang doktor perubatan, ikon wanita, dan ibu kepada masyarakat yang meninggalkan jasa cukup besar dalam bidang kesihatan awam.

Menjangkau usia 100 tahun pada 12 Julai lalu, Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pemergiannya nyata mengundang sebak seluruh rakyat Malaysia.

Garis masa media sosial kini dibanjiri ucapan takziah buat srikandi yang menyaksikan pelbagai transisi penting sepanjang sejarah penubuhan negara ini.

Hakikatnya, perjalanan hidup Allahyarhamah jauh lebih besar daripada sekadar berdiri di bayang-bayang seorang pemimpin.

Pasangan ini mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya menjadi centenarian yang masih hidup di Asia.

Beliau sendiri telah menempa nama sebagai antara doktor wanita Melayu terawal, selain mewakafkan usianya demi kebajikan dan kemasyarakatan.

Bagi mengenang jasa wanita hebat ini, berikut adalah sorotan fakta perjalanan hidup beliau:

1. Dr Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor.

2. Merupakan anak keenam daripada sepuluh adik-beradik.

3. Bapanya, Mohd Ali, merupakan seorang pegawai kerajaan, manakala ibunya, Siti Khatijah Ahmad pula seorang suri rumah.

4. Dr Siti Hasmah mendapat pendidikan awal di Methodist Girl's School, Kuala Lumpur dan kemudian melanjutkan persekolahan di St Mary’s School.

Seterusnya beliau berpindah ke Pudu English School sehingga memperoleh School Certificate.

5. Memilih untuk terus melanjutkan pelajaran selepas Perang Dunia Kedua, Dr Siti Hasmah menyambung pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII Collage of Medicine, Singapura dengan tawaran biasiswa.

Beliau menjadi antara wanita Melayu yang mempelopori bidang perubatan.

Ketika inilah beliau bertemu dengan Tun Dr Mahathir yang turut mendaftar di institusi dan tahun pengajian sama. 

Dr Siti Hasmah bertemu dengan Dr Mahathir ketika sama-sama menuntut di Singapura. 

6. Pada 1955, Dr Siti Hasmah menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

7. Hubungan yang erat dengan Dr Mahathir akhirnya membawa ke jenjang pelamin.

Pasangan doktor perubatan itu mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956.

8. Dr Siti Hasmah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Pada 1965, beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Siti Hasmah meninggal dunia

Pada 1974, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.

Penglibatannya membuktikan komitmen yang tinggi dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.

9. Ketika Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri, perjalanan kerjaya Dr Siti Hasmah turut berkembang dan mengalami perubahan besar, namun perjuangan beliau mempunyai identiti tersendiri.

10. Pasangan negarawan ini dikurniakan empat orang zuriat iaitu Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.

Mereka turut diserikan dengan kehadiran 18 cucu dan seorang cicit. 

PM turn 94

Dr Siti Hasmah merupakan antara insan penting dalam perjalanan politik Dr Mahathir. 

11. Dr Siti Hasmah juga mempunyai kemahiran bermain alat muzik seperti piano dan biola, malah sering memukau hadirin dengan persembahannya ketika menghadiri acara. 

12.  Menerima Anugerah Khas Srikandi Negara, anugerah julung kali diadakan bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan golongan wanita dalam pembangunan negara pada Disember 2014.

Pada Ogos 2026, Dr Siti Hasmah bersama Dr Mahathir mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya menjadi centenarian yang masih hidup di Asia.

Pengiktirafan itu disampaikan Asean Records dan Asia Records dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana bersempena ulang tahun kelahiran ke-101 Dr Mahathir pada 10 Julai, manakala Dr Siti Hasmah ke-100 pada 12 Julai lalu.

Perginya Dr Siti Hasmah bukan sekadar menoktahkan kisah seorang isteri kepada sosok negarawan, tetapi meninggalkan legasi seorang doktor, tokoh wanita dan insan yang telah mengabdikan hampir seluruh abad hidupnya untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Artikel Lain

Tun Siti Hasmah meninggal dunia