suria

Ibu meninggal dunia, bapa pula kena pulang Indonesia... Wanita asal Tawau ini kerja keras demi ubah nasib, kini ada bisnes sendiri

Bell yang mebesar tanpa kedua ibu bapa kini bergelar seorang ahli perniagaan berjaya.

KETIKA orang lain membesar dengan belaian, perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa, wanita ini tidak berpeluang untuk menikmati semua itu.

Seawal usia lima tahun, Norsidayati Mustari, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Sufiah Habib Zain yang bekerja sebagai penjual sayur.

Episod duka sekali lagi menjengah apabila bapanya, Allahyarham Mustari Subutanratu yang berasal dari Indonesia dan bekerja sebagai buruh kasar, meninggal dunia saat dia berumur 19 tahun.

bell 4

Gambar Bell sewaktu kecil bersama arwah bapa dan ibunya.

Sepeninggalan kedua-dua orang tuanya, Norsidayati yang berasal dari Tawau, Sabah, kemudian dipelihara oleh nenek dan ibu saudaranya.

Walaupun menjadi anak yatim piatu, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya bagi membuktikan status serta latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk mengecap kejayaan.

Atas dorongan tersebut, Norsidayati yang mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula berjinak-jinak dengan dunia bisnes.

ARTIKEL BERKAITAN: Miskin tak halang kejayaan! 13 tahun membesar di rumah anak yatim, kini berjaya genggam PhD

Kini, wanita berusia 32 tahun ini sudah bergelar seorang ahli perniagaan dan mampu berbangga dengan produk kecantikan jenama sendiri, Beautyspells.

Mengimbas kembali kisah dukanya, Norsidayati atau lebih dikenali sebagai Sis Bell berkata, selepas kematian ibu, arwah bapanya terpaksa pulang ke kampung kelahirannya di Indonesia.

"Daripada usia lima hingga 19 tahun saya tak sempat bersua muka dengannya. Makcik yang menjaga saya dan dipanggil sebagai mak ada bersua dengan bapa.

"Saya hanya mendengar khabar dan keadaannya daripada orang yang menyampaikan. Saya dapat tahu kekangan kewangan dan masalah dokumen perjalanan membataskan kembaranya ke Malaysia.

bell 2

Salah satu babak dalam video drama pendek 'Kerinduan Seorang Anak'.

"Dalam tempoh itu, saya hanya sempat berhubungan dengannya menerusi telefon sebanyak dua kali. Masih segar ingatan saya terhadap pesanannya untuk menjadi anak berguna dan membanggakan orang tua," katanya.

Mahu mengabadikan kisah kehidupannya, Sis Bell menterjemahkan liku-liku perjalanan hidupnya menerusi tiga video drama pendek berjudul 'Kerinduan Seorang Anak' yang dipromosikan secara tiga bahagian di akaun Facebook rasminya, Bell Mustari sejak 29 Julai, 1 dan 4 Ogos lalu.

"Saya tahu untuk berkongsi kejayaan dikecapi ini dengan ibu bapa tersayang sangat mustahil. Mereka lebih dulu pergi meninggalkan saya. Hanya rasa rindu yang mencengkam kala mengenangkan mereka.

Orang selalu cakap nak berjaya kena ada sokongan keluarga, ibu bapa dan orang tersayang. Tapi dalam kes saya, ibu bapa sudah tiada untuk melihat kejayaan dikecapi.

BELL MUSTARI

AHLI PERNIAGAAN

"Saya hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah untuk kedua ibu bapa. Walaupun saya dibesarkan tanpa mereka, saya mahu mereka yang senasib terus kebalkan hati dan semangat.

"Begitu juga yang masih ada ibu bapa agar hargai peluang dan cipta kenangan bersama. Kita takkan pernah tahu siapa dulu yang akan menyahut seruan Ilahi," katanya lagi.

Bergelar ahli perniagaan pada usia muda, wanita ini menyifatkan kejayaannya membina empayar perniagaan berdaftar sejak 2014 adalah atas kekuatan diri sendiri.

"Orang selalu cakap nak berjaya kena ada sokongan keluarga, ibu bapa dan orang tersayang. Tapi dalam kes saya, ibu bapa sudah tiada untuk melihat kejayaan dikecapi.

"Saya hanya mampu berkongsi dan meminjam kasih sayang nenek dan makcik. Namun kekuatan sebenar yang saya belajar sedari dulu ialah diri sendiri yang menjadi penyokong terhebat.

"Walaupun belajar setakat SPM, saya tak pernah melihat itu sebagai halangan untuk menjadi insan berguna. Bisnes saya menjadi bukti kepada susah payah dan pergelutan selama ini. Setiap yang terjadi ada hikmahnya untuk kita jadi lebih kuat," katanya.

bell 3

Bell kini bergelar seorang ahli perniagaan dan mampu berbangga dengan produk kecantikan jenama sendiri, Beautyspells.

Justeru, wanita ini berharap agar video yang dihasilkan bukan sahaja untuk dijadikan kenangan sendiri, tetapi mampu menjadi renungan bersama buat semua.

"Kita selalu fikir barangkali hidup ini panjang dan ada masa untuk memanfaatkan sesuatu termasuk dengan insan disayangi. Sedangkan mati itu pasti cuma kita tidak tahu bila maut akan datang menjemput.

"Lalu, walau apa jua cara dan pengakhiran hidup kita... hargailah masa serta momen dengan ibu bapa terutamanya. Ibu bapa tak mengharapkan wang ringgit pun daripada anaknya.

"Cukup ruang masa bersama mereka serta perhatian. Ingat juga andai kita sudah menjadi yatim piatu pun, jangan berhenti beramal kepada ibu bapa dan banyak bersedekah," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain