suria

Jadi pramugara selepas lihat iklan lopong dalam surat khabar, berjodoh pula dengan kru kabin... kini anak warisi kerjaya bapa!

Mazlan bersama isterinya (gambar kiri) dan foto kiri bersama anaknya.

SETIAP tahun, Hari Pramugari Antarabangsa diraikan pada 31 Mei bagi menghargai dedikasi dan usaha kru kabin.

Hari tersebut turut dipanggil Hari Penghargaan Kru Kabin Sedunia di negara lain di mana pelbagai kisah menarik boleh kita peroleh daripada pengalaman sepanjang kerjaya mereka.

Tidak terkecuali Mazlan Zainal yang berkongsi mengenai momen manisnya dalam bidang ini sejak 1989, selepas mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pegawai bank.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ketepikan isu ‘delay’, puji kru kabin AirAsia papah suami isteri buta turun pesawat... Teknik pegang bahu pun betul!

"Masa bekerja di sebuah bank, saya selalu ternampak salah seorang pekerja asyik potong keratan akhbar. Setiap kali surat khabar tu sampai ke bank mesti bahagian iklan tu hilang.

"Bila balik ke rumah, saya cuba cari surat khabar yang sama dan jumpa bahagian lopong tu rupanya iklan-iklan temuduga sebagai kru kabin. Jadi saya pun cuba nasib untuk memohon sebagai salah seorang kru di Malaysia Airlines.

Berjaya menjelajah hampir seluruh negara

Demi mencapai matlamat untuk menjadi salah seorang kru Malaysia Airlines (MAS), Mazlan telah berhijrah dari Perak ke Kuala Lumpur.

Jelasnya yang kini menetap di Seremban 2, Negeri Sembilan ini, antara negara luar yang pernah dijejaki sepanjang berkhidmat sebagai pramugara termasuklah Jepun, Australia, United Kingdom, Netherlands dan banyak lagi.

"Saya bermula dengan MAS di mana saya mula kenal aircraft juga suasana di KL. Rasa ingin terbang ke seluruh pelosok dunia tu membuak-buak. Tapi saya bermula dengan bertugas di sekitar Malaysia dahulu.

Mazlan (kanan) bersama kru lain.

"Dalam beberapa bulan saja saya dapat bertukar-tukar negara dengan begitu pantas sekali. Banyak negara telah saya pergi dan antara yang terawal adalah Narita, Tokyo di Jepun.

"Sepanjang kerjaya, antara yang paling mencabar adalah ketika temuduga untuk pra-pemilihan dan saya bersyukur rezeki menyebelahi saya dan apabila terpilih menjadi senior eksekutif yang merupakan antara ranking teratas dalam karier.

Bertemu jodoh dengan salah seorang kru

Menurut Mazlan yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata ini lagi, dia berjodoh dengan isterinya, Idrizah yang juga merupakan seorang pramugari.

Dalam pada itu, anak perempuannya Jasmin Mazlan, mengikut jejaknya dengan menjadi kru kabin sejak 2021 lagi.

Malah, Jasmin pernah menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selama tujuh bulan di bawah Malaysian Hospitality anjuran Malaysia Airlines.

Mazlan and Jasmin

Jasmin mengikut jejak bapanya dan menjadi kru kabin sejak 2021.

"Bila saya dah bekerja di Kuala Lumpur dan berkahwin, maka lahirlah Jasmin. Dulu saya bergaul dengan ramai orang tapi ibu Jasmin merupakan orang paling rapat sampai berjodoh.

"Dari kecil sampai dewasa Jasmin ikut saya buat event, kerja amal atau apa saja kerja-kerja crew saya ajak anak perempuan ni. Jasmin sekarang join airlines juga dan baru habis kelas,"ujarnya.

Sumber inspirasi kepada anak gadisnya

Katanya yang sudah lebih 33 tahun berkhidmat, terdapat pelbagai kenangan manis menjadi ingatan buatnya yang kini sudah berusia 55 tahun.

Dalam pada itu, Mazlan turut menzahirkan rasa syukurnya apabila diberi peluang melihat negara luar pada waktu siang dan malam sepanjang dia berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu.

"Antara best moment apabila setiap penumpang rasa tersentuh dengan servis saya berikan. Malah ada yang memberi tawaran untuk saya menyertai jabatan awam sebagai salah seorang pegawai di hospital kerana budi pekerti yang ditunjukkan.

Mazlan active with CSR programmes

Mazlan kerap menyertai aktiviti sukarelawan sehingga kini.

"Selain itu saya pernah jadi kru penerbangan di kota Madinah, Apabila flight itu tertangguh terlalu lama disebabkan masalah teknikal, cara kita sebagai pramugara bertugas mengawal keadaan untuk beritahu para penumpang adalah penting. Kami terpaksa menginap di hotel selama tiga hari.

"Pada hari ketiga, saya minta semua penumpang menadah tangan untuk berdoa minta kepada Allah supaya kami dapat pulang ke Malaysia dengan selamat. Menitik air mata apabila saya dengan penuh emosi buat pengumuman kami boleh berlepas pada hari tersebut.

"Selepas tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tiada siapa yang nak 'sambut' kami kerana perjalanan yang tidak mengikut jadual. Lebih setengah jam juga kami berada di dalam kapal terbang ketika itu. Inilah pengalaman saya terpaksa mengawal keadaan bersama penumpang sepanjang kami terkandas. Bagaimanapun, itulah antara momen-momen saya paling tak dapat lupakan sepanjang kerjaya sebagai pramugara," jelasnya.

Jasmin followed her father footsteps and joining volunteer programmes at a young age

Jasmin pernah menyertai sukarelawan di bawah Malaysian Hospitality.

Sempena hari menghargai semua kakitangan penerbangan ini, diharapkan lebih ramai orang di luar sana membuka mata mengenai jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka.

Mazlan berharap lebih ramai lagi anak muda di luar sana bakal menyambung karier sebagai kru kabin pada masa hadapan termasuklah anaknya Jasmin yang kini bersemangat menyambung legasinya ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain