suria

Ibu terharu anak hadiah King Oyen! Minat aktiviti berbasikal, sebelum mula perjalanan siap pergi tandas tanpa disuruh

Sofea dan suami, Mohd Salleh bersama kucing kesayangan mereka, King Oyen.

SEJAK kecil Sofea Salleh memang cukup suka membela kucing yang menjadi peneman dan teman bermain ketika zaman kanak-kanaknya.

Mengimbau mengenai kucing peliharaannya ketika itu, Sofea, 49, berkata, kucingnya itu cukup setia selain akan menunggu di tepi jalan setiap kali dia pulang dari sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati jejaka Jepun berbunga-bunga nikahi hologram anime, kini bingung isteri tak boleh bercakap

Namun selepas berkahwin dan mempunyai anak, Sofea, terpaksa melupakan hasrat untuk terus membela kucing kerana anak-anaknya yang mengalami alahan terhadap bulu haiwan selain mengalami penyakit asma.

Sebagai ganti, Sofea sering bermanja dengan kucing jalanan di tempat kerjanya malah membawa bekalan makanan untuk mereka setiap hari.

Pix 4

Sofea dan Mohd Salleh gemar menggayakan kucing mereka dengan pelbagai kostum.

"Memandangkan tidak boleh bela kucing di rumah, saya akan jaga dan beri makan kepada kucing jalanan di tempat kerja dan biasanya mereka akan berkumpul di tempat letak kereta saya di pejabat menanti makanan.

"Setiap hari saya akan bawa nasi yang digaul bersama ikan goreng kerana kucing jalanan lebih gemarkan makanan seperti ini.

"Istimewanya mereka seperti sudah mengenali saya dan sentiasa menunggu saya di tempat sama setiap hari," katanya kepada mStar.

Sofea ditemui pada majlis 'Si Meow Beraya Bersama Rakan Media' anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Anak hadiahkan King Oyen

Dalam pada itu, hasrat Sofea untuk membela kucing di rumah akhirnya terlaksana apabila anak sulungnya, Muhammad Aliff Haziq Mohd Salleh, 22, menghadiahkan seekor kucing jenis American Short Hair campuran Persian yang diberi nama King Oyen.

King Oyen suka membonceng basikal malah cukup tenang duduk di dalam bakulnya dan menikmati perjalanan ke rumah sepupu kami.

SOFEA SALLEH

Jelas Sofea, anak lelakinya menghadiahkan King Oyen kepadanya kerana tahu dia cukup sukakan kucing dan menyifatkan ia hadiah paling bermakna pernah diterima daripada anaknya itu.

"Apabila anak-anak sudah besar, elergi dan masalah asma semakin pulih. Memandangkan mereka tahu ibunya ini sukakan kucing, anak lelaki menghadiahkan seekor kucing kepada saya.

"Memang terharu apabila anak sulung tiba-tiba bawa balik seekor kucing yang ketika itu berusia dalam lingkungan setahun kerana memang sudah lama saya ingin membela kucing di rumah," ujarnya.

Sofea memberitahu kehidupannya mula berubah dengan kehadiran kucing kesayangannya itu dan membuatkan kehidupannya kembali terisi memandangkan tiga anaknya sudah pun besar.

"Saya tidak pernah anggap King Oyen seperti haiwan peliharaan, tetapi sudah seperti keluarga sendiri, macam anak sendiri yang manja dan perlukan perhatian sepanjang masa.

Pix 2

Pasangan ini wajib membawa King Oyen dalam setiap aktiviti berbasikal.

"Kehadirannya membuatkan kehidupan harian saya kembali sibuk apatah lagi anak-anak pun sudah besar," katanya.

Kucing suka aktiviti berbasikal

Bercerita lanjut mengenai King Oyen, Sofea berkata, dia tidak menyangka si bulus kesayangannya itu cukup gemarkan aktiviti berbasikal dan sering kali mengikutinya dan suami, Mohd Salleh Zakaria, 50, melakukan aktiviti itu.

Kata Sofea, semuanya bermula apabila dia dan suami melihat reaksi King Oyen yang cukup suka memerhatikan suaminya membersihkan atau membaiki basikal di halaman rumah.

"Dia boleh duduk berjam-jam melihat suami membelek basikalnya malah dia akan tidur di tepi basikal milik suami seolah-olah cuba memberitahu kami sesuatu," jelasnya.

Sehinggalah suatu hari kata Sofea, King Oyen merajuk dan memencilkan diri apabila ditinggalkan ketika mereka keluar melakukan aktiviti berbasikal.

Pix 3

Comel... King Oyen ketika menghadiri rumah terbuka anjuran Kelab Kucing Malaysia dan bersiar-siar menaiki basikal ke Dataran Merdeka.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk kucingnya itu namun tidak berjaya sehinggalah mereka mendapat idea untuk membawanya berjalan-jalan menaiki basikal.

"Pertama kali kami bawanya menaiki basikal adalah ke rumah sepupu saya yang jaraknya dalam enam kilometer.

"Saya langsung tak sangka, King Oyen begitu sukakannya malah cukup tenang duduk di dalam bakulnya dan menikmati perjalanan ke rumah sepupu kami.

"Sejak itu, setiap kali kami ada aktiviti berbasikal, King Oyen akan ikut kami dan duduk di dalam bakulnya yang diletakkan di hadapan basikal," katanya.

Setakat ini kata Sofea, mereka telah membawa kucing itu menjelajah dari rumah mereka di Gombak ke KLCC dan Dataran Merdeka sejauh 25 kilometer.

Pix 7

Sofea bersama rakan-rakan dari Kelab Kucing Malaysia.

Paling memeranjatkan kata Sofea, setiap kali diberitahu akan keluar melakukan aktiviti berbasikal, kucing itu seakan-akan memahami dan terus ke tandas untuk membuang air kecil atau air besar.

"King Oyen macam sudah tahu dan dia persiapkan diri dengan membuang air kecil dan besar siap-siap agar 'tidak buat hal' ketika perjalanan.

"Sebelum ini kami pasang penutup pada bakulnya kerana bimbang ia akan melompat tetapi sekarang sudah tidak perlu kerana kucing kami sudah pandai menyesuaikan diri.

"Sekali-sekala apabila tiba di kawasan selamat, ia akan mengeluarkan tengkuk dari bakul untuk menikmati pemandangan dan kembali masuk ke dalam bakul apabila melalui jalan besar," jelasnya.

King Oyen dengar kata, patuh arahan

Tiga tahun menjaga King Oyen, Sofea berkata, dia menganggap kucing kesayangannya itu sebagai seorang bayi dan memanjakannya apatah lagi kini dia sudah pun bersara.

Pix 8

King Oyen dianggap sebagai anak oleh pasangan ini.

Setiap keperluan si bulus akan disediakan malah King Oyen mempunyai koleksi pakaiannya yang tersendiri.

"Satu keistimewaan King Oyen adalah ia suka pakai baju dan saya pula gemar gayakannya apabila keluar berbasikal atau membawanya bersiar-siar di kawasan perumahan.

"Malah sambutan hari raya tahun ini, saya belikan tiga pasang baju Melayu lengkap dengan songkok dan cermin mata khas untuk kucing," katanya.

King Oyen, kata Sofea seekor kucing mendengar kata dan patuh pada arahan yang membuatkan ia senang dijaga selain ramah dengan orang yang tidak dikenalinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain