suria

Magis Bernard Chandran... Ikon fesyen tak pernah kering idea, sentuhan terus jadi tumpuan

Bernard Chandran tidak pernah kekeringan idea menghasilkan koleksi busana menawan baik untuk wanita mahupun jejaka.

MEMILIKI lebih daripada 3,000 koleksi pakaian sejak pembabitannya dalam dunia fesyen pada awal 90an, kehebatan pereka fesyen Malaysia yang tersohor seantero dunia, Datuk Seri Bernard Chandran atau lebih mahsyur dengan nama 'King of Fashion' tidak dapat disangkal lagi.

Busana rekaannya bukan hanya menjadi pilihan selebriti malah turut digemari golongan bangsawan dan orang kenamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terharu anak hadiah King Oyen! Minat aktiviti berbasikal, sebelum mula perjalanan siap pergi tandas tanpa disuruh

Kata Bernard, sebagai seorang pereka fesyen melanjutkan pelajaran di Paris, dia memulakan kariernya dengan mempelajari rekaan pakaian musim sejuk dan panas di negara tersebut.

Koleksi Eye of The Tiger hasil daripada Islamik Fashion Week.

"Saya mulakan rekaan pakaian semasa belajar di luar negara. Selain belajar mengenai rekaan mengikut musim, saya juga berpeluang mempelajari mengenai sejarah fesyen.

"Zaman dulu lebih sukar untuk dapatkan ilham bagi rekaan pakaian Melayu, jadi saya terpaksa buat kajian melalui majalah saja. Tidak seperti sekarang, segalanya boleh diperoleh di hujung jari.

"Saya ambil peluang semasa belajar di kota fesyen itu dan balik ke Malaysia pada 1993 dengan beberapa koleksi seperti dress, baju kahwin, baju kurung dan banyak lagi koleksi lain. Matlamat saya pada ketika itu adalah untuk menjadi Chanel (sebuah jenama terkemuka) di negara sendiri," jelas Bernard ketika ditemui mStar.

"Sebagai pereka fesyen di Paris sekitar awal 90an, komen bahawa 'semua orang berpakaian sama' oleh rakan yang melawat Malaysia buat pertama kali meninggalkan kesan kepada saya. Saya jadikan kata-kata itu sebagai satu cabaran peribadi untuk merombak baju kurung tradisional," jelas Bernard.

Antara koleksi yang turut dipamerkan.

Mula menerima tempahan sejak 1996

Imbas figura berusia 52 tahun ini lagi, bermula pada 1996 dia sudah mempunyai ramai pelanggan yang mempercayai sentuhannya dalam mereka busana.

Namun kata Bernard yang merupakan anak jati Selangor ini, matlamatnya bukanlah hanya tertumpu pada pasaran luar negara sahaja tetapi dalam negara sendiri.

"Setelah berkecimpung lebih 10 tahun dalam dunia rekaan fesyen, saya sudah memiliki pelanggan tetap.

"Sasaran saya pun masa tu tidak hanya memberi fokus kepada fashion show luar negara tetapi saya kena jadi yang terbaik di negara sendiri juga.

Koleksi 'The Fabulous Chandran Boys' pernah dipakai oleh Bernard sendiri sempena hari raya.

"Saya mahu menjadi seorang pereka fesyen yang menjadi sumber inspirasi kepada semua rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum ini.

"Bagi saya, pemakaian baju kurung dan kebaya merupakan satu tradisi yang tidak lapuk untuk diperagakan dalam majlis-majlis rasmi. Jadi saya cipta 'Petang Raya' sejak tahun 2006," katanya.

Idea tercetus untuk buat Petang Raya pada 2006 sehingga 2022

‘Bernard Chandran: Petang Raya 2006-2022’ yang dianjurkan secara eksklusif hingga Julai depan merupakan pameran keempat terbesar buat Bernard selama lebih 35 tahun berkecimpung dalam kariernya.

Terdapat kebaya songket diperaga oleh Michelle Yeoh di Grand Prix Ice Gala 2005.

Pameran di Fahrenheit88, Kuala Lumpur ini turut menampilkan gaun bertatahkan kristal yang dipakai Estelle ketika membuat persembahan American Boy di Anugerah Grammy 2008 selain kebaya songket Tan Sri Michelle Yeoh dari Grand Prix Ice Gala 2005.

Selain itu terdapat busana yang diinspirasikan daripada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi melambangkan kesucian seorang isteri yang sentiasa menyokong suami dari belakang.

Pameran boleh dilihat di Fahrenheit88, Kuala Lumpur

Pameran Petang Raya 2006 hingga 2022 kini telah dibuka kepada orang ramai bermula 20 Mei hingga 20 Julai 2022 di mana kemasukan adalah percuma.

Antara koleksi-koleksi lain yang terdapat di pameran Petang Raya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman melihat koleksi hebat dan dalam pada masa sama ingin mendapatkan ilham dengan melihat sendiri rekaan pakaian melebihi 100 jenis koleksi diperagakan, anda boleh ke pusat beli belah Fahrenheit88, Tingkat 2, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain