Dek kerana bakat Nissa Khan, ada yang menangis, lari lintang pukang! - Figura | mStar

Dek kerana bakat Nissa Khan, ada yang menangis, lari lintang pukang!

Nissa pernah menjalani latihan industri di Studio ADI, Los Angeles selama empat bulan.

KEPERCAYAAN yang diberikan pengarah, Syamsul Yusof untuk si cantik manis ini menghasilkan kesan seram menerusi Munafik 2 ternyata sesuatu yang datang bergolek. Manakan tidak, ia cubaan pertamanya, sekaligus melonjak namanya dalam industri perfileman tempatan.

Dan tentunya tiada siapa sangka kesan seram ketika menonton naskhah yang memperoleh kutipan pecah panggung itu sebenarnya hasil kreativiti gadis tempatan.

Usianya mungkin baru mencecah 21 tahun, namun sudah mendapat kepercayaan Pengarah Terbaik Asia Pasifik tersebut untuk membuktikan bakatnya bukan sembarangan dan mampu menggemparkan ramai.

Itulah yang dilalui Mas Qairunissa Mas Fadzillah Khan, anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini mula berjinak-jinak dengan produksi filem tempatan.

Namun dek kerana bakat besar dalam dirinya, dia mendapat kepercayaan untuk melaksanakan tanggungjawab bagi salah satu elemen terpenting filem bergenre seram melalui sentuhan magisnya.

Dianggap pendatang baru dalam dunia solekan kesan khas, insan yang mesra dipanggil Nissa itu sebenarnya pernah menjalani latihan industri di Studio ADI, Los Angeles selama empat bulan.

Inilah gadis yang memberikan sentuhan luar biasa pada karya Munafik 2 arahan Syamsul Yusof.

Studio ADI adalah studio kesan khas karakter di Hollywood yang pernah meraih Anugerah Akademi dan terlibat dalam penghasilan filem seperti X-Men, Maze Runner dan Jumanji.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mengikuti kelas solekan di Cinema Makeup School di negara Uncle Sam itu selama dua tahun selepas tamat Tingkatan Lima.

“Habis sekolah, umur 18 tahun terus pergi sana (Hollywood). Saya selalu tengok rancangan realiti ‘face off’ tu dan berminat dengan solekan kesan khas, tapi tak pernah terfikir pun nak buat.

“Semasa di sana, saya fikir nak buat solekan kecantikan sahaja. Tapi lepas dah belajar solekan kesan khas, saya lebih sukakannya,” ujar Nissa yang terjun dalam dunia persolekan ini  selepas cita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang hartanah tidak mendapat lampu hijau bapanya.

Baginya, solekan kesan seram lebih mencabar dan memberi ruang kepadanya untuk bereksprimentasi dengan karya baharu.

Kongsi adik kepada pelakon Mas Khan itu, bakatnya melakukan solekan kesan khas pernah digunakan untuk mengusik rakan abangnya itu.

Takutnya tengok hasil karya Nissa Khan!

“Saya pernah solek diri sendiri dan menakutkan kawan abang dengan menyorok di sebuah lorong berhampiran rumah kami, dia berlari ketakutan dan menangis.

“Tetamu yang datang ke rumah juga pernah menjerit bila nampak hasil kerja saya yang diletakkan di tepi sudut dapur.

“Saya buat solekan patung terbakar dan letak di dapur tanpa niat nak menakutkan sesiapa,” ujar pemilik tubuh tinggi lampai itu.

Sejak itu, mereka sekeluarga akan menyimpan hasil kerja Nissa di bilik khas agar ia tidak menakutkan tetamu.

Selain bergelumang dengan berus, cat dan alat solek, Nissa sebenarnya gemar menyertai aktiviti lasak dan mendaki gunung.

Tentu sekali ianya sedikit sebanyak kerana keluarganya memiliki taman cabaran ATV di Kemensah dan gadis itu mahir menunggang motosikal lasak sejak berusia lapan tahun lagi.

Nissa Khan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM