‘Assalamualaikum’ buka peluang Ezra Kong dalam arena muzik Melayu - Figura | mStar

‘Assalamualaikum’ buka peluang Ezra Kong dalam arena muzik Melayu

Nama Ezra Kong antara komposer muda yang semakin mendapat perhatian. Foto SHAARI CHE MAT

BARANGKALI ramai tidak mengenali nama komposer dan penerbit Ezra Kong namun jika disebut lagu-lagu seperti Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, Police Entry (Elizabeth Tan), Assalamualaikum (Faizal Tahir) dan terbaharu Anta Permana (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Ia bukan asing dalam kalangan penggemar muzik tempatan.

Pemuda berbangsa Cina ini sebenarnya adalah tulang belakang kepada penghasilan lagu-lagu tersebut termasuk tiga lagu hit bersama rakan baiknya yang juga penyanyi dan komposer, Hael Husaini iaitu Jampi, Haram dan Hajat.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut

Pertemuan bersama Ezra, 30, di studio rakamannya di Petaling Jaya bersama mStar Online, merungkai mengenai permulaannya sebagai komposer, bicara tentang Faizal Tahir dan Hael Husaini selain cintanya terhadap genre Pop Melayu.

Ezra banyak menghabiskan masa di studio yang dibina khas dalam rumahnya.

Fasih bertutur bahasa Melayu, Ezra ketika mendedahkan penglibatannya dalam bidang muzik tempatan berkata, sebenarnya ia berlaku secara tidak sengaja sekitar empat tahun lalu.

Cerita pemuda berasal dari Port Klang ini semuanya bermula apabila dua rakan komposernya, Mike Chan dan Audi Mok menawarkannya untuk menghasilkan lagu untuk Faizal Tahir pada 2014.

Hasilkan 18 demo untuk Faizal Tahir, Assalamualaikum pembuka jalan Ezra

Ezra yang sebelum itu bekerja dalam bidang pengiklanan radio dan televisyen memberitahu pada awalnya dia tidak percaya dengan tawaran itu kerana Faizal Tahir ialah antara pemuzik dan penyanyi yang diminatinya selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Spider, Peter Pan, Ungu dan Ahmad Dhani.

Ezra bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.

Dek kerana teruja dengan peluang diberikan, Ezra menghasilkan sebanyak 18 buah demo lagu untuk dipilih Faizal namun hanya satu daripadanya diterima penyanyi itu.

"Dalam tidak percaya dapat berkolaborasi dengan Faizal untuk lagu terbaharunya ketika itu, saya sebenarnya tertekan juga kerana mahu lakukan yang terbaik sehinggakan saya buat 18 demo untuknya.

"Akhirnya dalam kesemua demo dihantar, Faizal memilih satu daripadanya maka terhasillah lagu berjudul Assalamualaikum dan ia menjadi lagu pertama ciptaan saya," katanya.

Sejak itu, Ezra banyak berkolaborasi dengan Faizal Tahir, Mike Chan, Audi Mok serta Omar K seperti lagu Dirgahayu, Negaraku, Setia dan beberapa lagu lain.

Ezra memang meminati lagu berbahasa Melayu.

"Saya selamanya terhutang budi dengan mereka yang saya anggap sebagai tulang belakang kepada karier saya... Seperti Faizal saya sangat mengagumi pemikiran dan falsafahnya yang sentiasa kehadapan.

"Peluang bekerja dengannya dan rakan komposer lain adalah antara perkara terbaik pernah saya perolehi," ujarnya.

Ezra pernah kerja kilang, tiada pendidikan formal muzik

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Ezra berkata, dia sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang muzik sebaliknya hanya berdasarkan minat terhadap penulisan dan gubahan lagu.

Assalamualaikum nyanyian Faizal Tahir adalah lagu pertama ciptaan Ezra.

Pemegang ijazah sarjana muda Psikologi, Universiti John Moores Liverpool ini menambah, dia berjinak-jinak menggubah lagu sejak berusia 14 tahun hanya berbekalkan sebuah gitar selain Youtube dan Google sebagai gurunya.

"Kalau tanya saya tentang aspek teknikal atau pun perkara formal berkaitan muzik memang saya tidak tahu sebaliknya kemahiran yang saya ada sekarang hasil daripada minat dan internet sebagai guru.

"Malah saya menyambung pengajian dalam bidang psikologi yang langsung tiada kena mengena dengan muzik dan selepas tamat pengajian saya pernah bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan di bahagian sumber manusia selama setahun.

"Tetapi sejak berusia 14 tahun saya tidak pernah berhenti mencintai muzik dan ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya," jelasnya.

Ezra (kiri) dan Hael menjuarai Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) menerusi lagu Jampi. 

Bicara tentang Hael Husaini

Sementara itu, bercakap mengenai rakan baiknya, Hael Husaini, Ezra memberitahu dia serasi dengan penyanyi itu yang banyak mempengaruhi caranya menggubah lagu Melayu.

Imbau Ezra, dia pernah ditegur Hael kerana kekurangannya memahami muzik pop Melayu dengan baik dan ia membuka matanya untuk lebih peka dengan kehendak pendengar.

"Hael pernah beritahu saya tak faham melodi Melayu dan saya tidak boleh buat lagu untuk kepuasan diri semata-mata tetapi ia perlulah sedap didengar oleh pendengar.

"Dia banyak buka pemikiran saya untuk lebih terbuka dan jujurnya kami selesa bekerjasama... Kadang-kadang sedang lepak atau dalam kereta pun kami boleh dapat idea buat lagu," ujarnya.

Ezra Kong , Faizal Tahir , Hael Husaini , Jampi

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia