suria

Berebut hak penjagaan anak lelaki, menantu tembak bapa mentua guna pistol buatan sendiri

Pertengkaran berakhir dengan tragedi pembunuhan. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki didakwa menembak mati bapa mentuanya selepas berlaku pertengkaran berkaitan hak penjagaan anak.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Tirupattur, Tamil Nadu, India.

Menurut polis, suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sebelum kejadian berlaku.

Mereka mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan, namun pertikaian tertumpu kepada hak penjagaan anak lelaki.

"Suspek mahu mendapatkan hak penjagaan anak lelaki mereka, namun permintaan itu ditolak oleh si ibu," katanya.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai terlebih dahulu bertengkar secara lisan dengan mangsa, Ravi, sebelum meninggalkan lokasi kejadian buat sementara waktu.

Bagaimanapun, lelaki itu didakwa kembali semula dengan membawa sepucuk senjata api buatan sendiri sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa yang ketika itu sedang duduk di luar rumahnya.

Penduduk setempat yang menyedari insiden berkenaan,  bergegas membawa mangsa ke Hospital Kerajaan Ambur untuk rawatan.

Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayatnya dihantar untuk bedah siasat.

Susulan itu, kertas siasatan berhubung kejadian itu telah dibuka oleh polis Umerabad.

Pasukan khas turut ditubuhkan bagi mengesan suspek yang masih melarikan diri serta merampas senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan. -Agensi

Artikel Lain