suria

Telinga bernanah di sebalik memori laut, Kak P bangkit bersama goreng pisang keju

Noor Fidzlee menganggap selam skuba sebagai nyawanya sebelum diserang penyakit Tibi telinga.

RASA gian yang sukar digambarkan, demikian akui pencinta selam skuba apabila menanti saat menerokai dasar laut.

Keindahan terumbu karang dan hidupan laut pelbagai spesis yang mewarnai landskap ciptaan Ilahi ini boleh melekakan penyelam skuba sehingga berjam-jam lamanya.

Kecintaan terhadap hobi itulah yang membuatkan wanita bernama Noor Fizlee Mohd Hapidzal, 33, membuka pusat selam skuba yang diusahakan bersama seorang rakan kongsi.

Noor Fizlee yang mesra disapa Kak P, berasal dari Subang, Selangor itu memulakan operasi pusat berkenaan di Pulau Bum Bum, Semporna di Sabah ketika usianya 26 tahun.

“Pulau Bum Bum itu terletak di tengah-tengah antara kebanyakan pulau yang terdapat di Semporna.

Kenangan Noor Fizlee dan rakannya ketika melakukan aktiviti skuba tidak lama dulu.

“Kami bukan sahaja akan bawa tetamu chalet untuk menyelam di Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan, tetapi ke destinasi kurang popular seperti Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Pompom yang amat cantik,” katanya ketika ditemui mStar Online di kediamannya di Subang.

“Pulau Bum Bum itu terletak di tengah-tengah antara kebanyakan pulau yang terdapat di Semporna.

“Kami bukan sahaja akan bawa tetamu chalet untuk menyelam di Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan, tetapi ke destinasi kurang popular seperti Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Pompom yang amat cantik,” katanya ketika ditemui mStar Online di kediamannya di Subang.

Pusat selam dan chalet miliknya dibina berkonsep ‘rustic’ iaitu rumah kayu atas air untuk dipadankan dengan persekitaran alam semula jadi.

Minatnya yang mendalam terhadap sukan air tersebut juga telah membawanya ke merata pulau di dalam dan luar negara termasuk Filipina, Indonesia dan Thailand.

Jangkitan itu menjadikan keadaan telinga saya semakin serius sehingga bernanah dan berbau sangat busuk.

Noor Fizlee Mohd Hapidza

Penyelam Skuba

Ketika menguruskan pusat selam seluas tiga ekar (tukar kepada hektar) itu bersama beberapa kakitangan dan pengajar selam skuba dari Perancis, chaletnya tidak putus-putus menerima tempahan pelancong asing dan tempatan.

Namun langit tak selamanya cerah, perniagaan yang diusahakan Noor Fizlee selama hampir empat tahun itu tidak dapat diselamatkan apabila gegendang telinga kirinya dijangkiti kuman.

Anak kedua daripada tiga beradik itu tiba-tiba mengalami demam panas yang sangat teruk sehingga lapisan penting dalam telinganya itu pecah.

“Saya terpaksa terbang balik ke Kuala Lumpur kerana ketika itu telinga sudah meleleh keluar darah.

Pusat selam skuba yang pernah dimiliki Noor Fizlee di Pulau Bum Bum.

"Doktor cakap gegendang telinga saya dah pecah dan perlu lakukan pembedahan segera. Lebih kurang dua minggu saya ditahan di wad,” ceritanya sambil mengimbau kembali episod duka itu.

Nasihat doktor agar berehat secukupnya tidak diendahkan Noor Fizlee kerana bimbang masalah kakitangan terhad di pusat selamnya di Sabah sukar menguruskan operasi harian membuatkan Kak P berkeras mahu pulang ke Pulau Bum Bum bagi menguruskan perniagaannya.

Keadaan bertambah parah apabila telinga kirinya itu dijangkiti kuman yang dipercayai berpunca daripada air yang digunakan ketika di Sabah.

“Bila doktor lakukan pemeriksaan, saya dah kena jangkitan tuberkulosis (Tibi) di telinga.

“Jangkitan itu ‘makan’ semua lapisan, tulang dan gegendang telinga saya serta menyebabkan bahagian tersebut langsung tidak boleh terkena air sampai sekarang,” ujarnya.

Keadaan Noor Fizlee ketika mula-mula dimasukkan ke hospital akibat jangkitan di telinga kirinya.

Serangan jangkitan Tibi itu menyebabkan tempoh berehatnya makin panjang, Kak P terpaksa ditahan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya selama enam bulan.

Penyakit tersebut juga menyebabkan Noor Fidzlee tidak lagi boleh menyelam, biarpun beliau amat merindui aktiviti itu yang sudah dianggap seperti nyawanya.

Pada masa sama, perniagaannya di Pulau Bum Bum juga mengalami masalah apabila ditipu seorang penduduk tempatan yang bertindak menjual pusat chalet itu kepada pihak lain.

“Saya menyewa kawasan itu daripada seorang penduduk tempatan, tapi tak sangka dia tergamak menipu dan menjual chalet tersebut ketika saya sedang sakit.

“Dah tak ada apa yang boleh diselamatkan dan saya terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar,” ujar Noor Fidzlee.

Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya dan itulah yang menguatkan semangat usahawan tersebut untuk bangkit.

Noor Fizlee kini bergelar pengasas Kak P The Pisang Cheese.

Pada akhir 2013, wanita berjiwa waja itu mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan pisang goreng keju bersama rakan baiknya yang merupakan seorang doktor.

“Ketika itu saya masih lagi berulang-alik ke hospital untuk buat rawatan dan dalam bank ada RM2 sahaja.

“Tapi, saya nekad nak berniaga juga. Saya terpaksa pinjam perkakas memasak daripada ibu dan kawan-kawan, dan buka gerai pertama kami di tepi jalan,” ujarnya.

Selepas lima tahun beroperasi, jenama Kak P The Pisang Cheese semakin dikenali dan Noor Fidzlee berjaya membuka tujuh cawangan di Lembah Klang dan sebuah lagi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka.

Kini, Noor Fidzlee turut aktif memberi latihan kepada usahawan muda yang berminat menjana pendapatan melalui perniagaan sepertinya.

Pokok pangkalnya, jangan sekali-kali mengalah apabila ditimpa musibah kerana tentunya ada hikmah disebalik ujian getir itu.

Noor Fidzlee

Artikel Lain