suria

"Dia takut, malu dan keliru" - Ibu terkejut anak datang haid umur 8 tahun, syak 4 faktor jadi punca

Penggunaan EO dipercayai punca kanak-kanak akil baligh awal. -Gambar hiasan AI

SEORANG ibu berkongsi pengalaman mengejutkan apabila anak perempuannya mengalami haid seawal usia lapan tahun, satu keadaan yang dikenali sebagai precocious puberty atau akil baligh pramatang.

Menurut wanita berkenaan, situasi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap fizikal, emosi dan kesihatan anak.

“Bila anak pertama kali datang haid, kami ingat perkara biasa. Tapi bila jumpa pakar hormon kanak-kanak, doktor beritahu ini tak normal dan perlu rawatan segera,” katanya.

Segera dapatkan nasihat doktor jika anak anda datang haid pada usia yang terlalu muda. -Gambar hiasan AISegera dapatkan nasihat doktor jika anak anda datang haid pada usia terlalu muda. -Gambar hiasan AI

Jelasnya, doktor melakukan pemeriksaan X-ray pada bahagian tangan anak bagi menentukan usia tulang (bone age).

“Hasil pemeriksaan menunjukkan tulang anak saya sudah matang seperti kanak-kanak 11 tahun walaupun umur sebenar baru lapan tahun.

"Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan ketinggian akan terhenti lebih awal.

“Doktor jangka tinggi maksimum dia cuma sekitar 155 sentimeter walaupun sekarang dia paling tinggi dalam kelas,” katanya.

Menurutnya, antara kesan jangka panjang yang dibimbangkan ialah risiko menopaus awal, tahap kesuburan menurun, gangguan hormon serta tulang rapuh.

Selain itu, aspek emosi turut terjejas kerana anak masih belum matang untuk memahami tentang perubahan fizikal.

“Dia sendiri takut, malu dan keliru. Bayangkan budak lapan tahun kena fikir soal haid, solat dan aurat,” katanya.

Faktor yang disyaki boleh mencetuskan akil baligh awal ialah:

- Penggunaan essential oil (EO)

- Lavender

- Makanan berasaskan soya

- Pengambilan ayam secara berlebihan

"Saya rasa kes anak saya ni disebabkan EO. Waktu Perintah Kawalan Berkurung tu saya banyak guna EO.

"Lepas tu oil paling favourite selalu guna lavender dan geranium," katanya.

Bagi mengawal keadaan, anaknya kini menerima rawatan suntikan hormon (GnRH) setiap tiga bulan bagi melambatkan proses baligh.

Rawatan itu akan diteruskan sehingga anak mencapai umur sesuai untuk akil baligh.

“Kalau anak period umur lapan tahun tu tak normal. Bawalah anak jumpa doktor dan dapat rawatan yang sepatutnya," katanya.

Artikel Lain