suria

Kongsi vape tonjol semangat ‘brotherhood’, lelaki dijangkiti herpes daripada rakan

Herpes boleh dijangkiti melalui perkongsian vape. -Gambar hiasan

PENDEDAHAN seorang doktor gigi mengenai pesakitnya yang disahkan menghidap herpes selepas berkongsi rokok elektronik atau vape, mengejutkan warga maya.

Menurut Dr Sabreena, lebih membimbangkan apabila individu terbabit mengaku melakukannya kerana ingin mahu menonjolkan semangat 'brotherhood' bersama rakan-rakan.

"Korang yang selalu kongsi vape atau shisha ramai-ramai tu, tolonglah berhenti.

"Salah seorang pesakit kongsi sejarah dia terkena penyakit herpes adalah sebab berkongsi vape.

"Kongsi kononnya 'brotherhood', sekali dapat herpes terus jadi 'membership' seumur hidup," kongsinya di laman Threads.

Menurut Dr Sabreena, sekiranya seseorang itu mempunyai herpes atau luka pada bahagian bibir, virus itu boleh melekat pada muncung vape.

Ia seterusnya membuka ruang kepada individu lain untuk dijangkiti.

Untuk maklumat, herpes merupakan sejenis penyakit kelamin yang disebabkan virus simpleks herpes (HSV).

Herpes boleh menjangkiti sesiapa sahaja. -Foto Wikipedia Herpes

Herpes boleh menjangkiti sesiapa sahaja. -Foto Wikipedia Herpes

Menurut Biofarma, virus HSV boleh menyerang kulit dan selaput lendir manusia kerana menular melalui sentuhan kulit, air liur, oral seks, mahupun hubungan seksual dengan penghidap herpes.

Ia juga boleh menyerang sesiapa sahaja sama ada golongan lelaki mahupun wanita.

Kebiasaannya, penghidap mengalami gejala seperti ruam kemerahan, bintik-bintik pedih dan lepuhan sekitar mulut serta bahagian kemaluan.

Lebih membimbangkan apabila ia tidak dapat disembuhkan dan hanya boleh dikawal menerusi pengambilan ubat-ubatan yang disarankan doktor.

Terdapat dua jenis virus HSV iaitu HSV-1 (herpes simplex virus tipe-1) dan HSV-2 (herpes simplex virus tipe-2).

1. Herpes simplex virus tipe-1 (HSV-1)

Virus ini biasanya menyerang kawasan sekitar mulut dan wajah.

Bermula dengan ruam atau bisul di sekitar mulut yang sering disebut 'cold sores'.

Ia menular melalui sentuhan langsung dengan ruam, air liur, atau penggunaan peralatan makan yang sama.

2. Herpes simplex virus tipe-2 (HSV-2)

Menyerang bahagian kemaluan dan sekitar anus.

Kebiasaannya virus ditularkan melalui hubungan seksual.

Gejalanya meliputi bisul pada alat kelamin, disertai demam, sakit tubuh dan pembengkakan pada sistem imun tubuh.

Artikel Lain